Pada hari ini 19 Januari dalam tahun 1962, Dato' Onn bin Jaafar meninggal dunia. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara kita.
Dato’ Onn adalah seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik yang terulung di Tanah Melayu yang berjaya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan kepada orang-orang Melayu.
Dilahirkan dalam tahun 1895 di Johor Baharu, Dato' Onn mempunyai 15 orang adik beradik, lelaki dan perempuan dari seibu sebapa, sebapa sahaja dan yang seibu sahaja dengannya.
Tidak seperti adik-adiknya yang lain, beliau semenjak dari kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim sebagai anak angkat baginda. Malah kakaknya Che Dara berkahwin dengan Sultan Ibrahim.
Dengan asuhan dan layanan diraja, pendidikan timur dan barat (di England) serta ajaran Islam maka tertanamlah di sanubari dan jiwanya perasaan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara, cintakan tanahair dan semangat kebangsaan dengan suburnya.
Ketika hayatnya, Dato' Onn telah berjuang untuk memperbaiki dan meninggikan taraf hidup, pelajaran dan ekonomi orang-orang Melayu supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain.
Dato' Onn antara lain pernah bekerja sebagai kerani pelatih di Pejabat Setiausahha Kerajaan Johor di Johor Bahru, berkhidmat sebagai kadet dalam Angkatan Tentera Negeri Johor (Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Pegawai Daerah Batu Pahat, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor, Menteri Besar Johor, Pro Canselor Universiti Malaya (Singapura), Ahli yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Dalam Negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Pengerusi RIDA.
Sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan petah bercakap dan berhujah, Datuk Onn telah berjaya memimpin orang-orang Melayu menentang dan seterusnya menumbangkan Malayan Union. Dato' Onn juga terkenal sebagai pengasas UMNO dan dipilih sebagai Presiden yang pertama apabila pertubuhan itu ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mei 1946.
Bagaimanapun, beliau telah keluar dari pertubuhan yang diasaskannya itu pada 27 Ogos 1951 kerana perselisihan faham dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain mengenai dasar perkauman Melayu UMNO.
Dato' Onn ingin menjadikan UMNO sebagai pertubuhan politik yang tidak mengira kaum dan terbuka kepada semua kaum, tetapi tidak dipersetujui malah ditentang habis-habisan oleh sebahagian besar pemimpin pemimpin UMNO yang lain.
Dato’ Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau Independence Malayan Party (IMP) sebaik-baik sahaja keluar dari UMNO. Parti itu hanya dapat bertahan selama tiga tahun lebih.
Dalam Mac 1954 Dato’ Onn menubuhkan pula Parti Negara atau "National Party" yang mengamalkan semula dasar perkauman Melayu.
Dalam tahun 1959 Parti Negara telah memenangi pilihanraya Umum Persekutuan dan Dato' Onn dilantik meriadi Anggota Parlimen.
Berita kematian putera Tanah Melayu dan jaguh politik kebangsaan yang ulung itu pada hari ini (Jumaat) dalam tahun 1962 setelah berusia 67 tahun diterima dengan rasa sedih dan terharu yang amat sangat oleh rakyat jelata dan pemimpin-pemimpin negara di seluruh negara.
Di saat keharuan itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dengan serta merta mengumumkan penghormatan negara kepada jenazah Dato' Onn sebagai mengenang jasa beliau yang tidak ternilai kepada bangsa dan nusa.
Jenazah Dato’ Onn disembahyangkan di Masjid Abu Bakar Ialu dibawa ke Istana Besar untuk rakyat memberikan penghormatan terakhir.
Tembakan meriam hormat sebanyak 17 kali telah dilepaskan sebaik-baik saja jenazah itu dibawa keluar dari Istana Besar di atas sebuah kereta meriam yang ditarik oleh anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Malaya dengan diiringi oleh 300 orang anggota dan pegawai-pegawai dari Angkatan bersenjata Tanah Melayu dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) menuju ke Perkuburan Diraja Mahmoodiah.
Jenazah Dato’ Onn disemadikan bersebelahan kubur ayahanda beliau. Dato' Jaafar Muhammad dan abangnya, Dato' Mustapha.
Jenazah Dato’ Onn disemadikan bersebelahan kubur ayahanda beliau. Dato' Jaafar Muhammad dan abangnya, Dato' Mustapha.