Social Icons

Mengenali Askar Timbalan Setia Negeri


Di seluruh Malaysia, hanya negeri Johor mempunyai askarnya sendiri.

Bagaimanapun, fungsi Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) atau Johor Military Force (JMF) ini hanya terhad kepada hal istiadat istana negeri .

Tugas utama pasukan ini adalah untuk menjaga keselamatan dan keselesaan Sultan, Tunku Mahkota Johor, serta tetamu-tetamu diraja.

Sebagai sebuah pasukan yang bertanggungjawab terhadap istiadat berkaitan istana, ATSN terlibat dalam perbarisan kehormat pada setiap hari Keputeraan Sultan Johor dan juga setiap kali pembukaan persidangan Dewan Negeri Johor.

Tugas-tugas ATSN yang lainnya adalah mengawal kesemua empat istana di Johor, memberikan khidmat sokongan berkaitan pengurusan istana, dan mengendalikan segala aktiviti yang dijalankan pihak istana.


Selain itu, ATSN juga bertugas mengawal kem ATSN di Taman Dahlia, Tampoi, gate Straits View, gate Skudai, gate Kolam Air, bangunan pancaragam, dan bot-bot Tuanku di Stulang.

Boleh membaca Jawi
Menurut Pegawai Tadbir ATSN, Kapten Jalalludin Hamsan, segala pelantikan, kenaikan pangkat, dan persaraan anggota adalah tertakluk kepada keputusan dan pengesahan Sultan.

"ATSN diterajui oleh DYMM Sultan Johor selaku pegawai pemerintah sementara DYAM Tunku Mahkota Johor adalah naib pemerintah," katanya.

Jelasnya, pengambilan anggota pasukan ini hanya terbuka kepada anak jati Johor yang boleh menulis dan membaca Jawi kerana tulisan berkenaan banyak digunakan dalam laporan, perintah serta jadual harian.
"Malah, perkataan dan istilah bahasa Inggeris seperti duty, Regimental Order, military record, superior officer, state prisioners dan software juga dieja dalam tulisan Jawi.

"Anggota yang terpilih juga perlu ada asas dalam pengetahuan agama termasuk boleh membaca al-Quran, memandangkan mereka akan banyak terlibat dengan majlis-majlis keagamaan," katanya.

ATSN dibahagikan kepada tiga unit, iaitu pentadbiran, kawalan dan pancaragam. Setiap anggota akan ditempatkan dimana-mana unit yang bersesuaian dengan kebolehan mereka.

"Tugas Unit Pentadbiran tertumpu kepada kerja-kerja pejabat manakala Unit Kawalan bertanggunjawab menjalankan kawalan di istana dan keselamatan Sultan dan Tunku Mahkota Johor



"Unit pancaragam lebih kepada bidang muzik. Antara tugas mereka ialah memainkan lagu Bangsa Johor pada setiap majlis rasmi yang dihadiri oleh Sultan," katanya.

Jelasnya, anggota ketiga-tiga unit ini juga perlu menguasai beberapa kemahiran seperti berkawad dan menembak.

Sejarah Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN)
ATSN ditubuhkan oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1886 bagi memenuhi syarat Perjanjian Setia 1885 antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Great Britain.

Pada mulanya, ATSN dianggotai seramai 60 pemuda Melayu yang dipimpin oleh Syed Mohamed Nong Yahya dan Mejar Daud Sulaiman. Pada tahun 1895, Sultan Ibrahim dilantik sebagai kolonel pemerintah Timbalan Setia Negeri.

Bagi memperkukuhkan ATSN, Sultan Ibrahim telah menubuhkan Johor Volunteer Forces (JVF). Pada tahun 1915, keanggotaan ATSN ditambah kepada 576 orang dengan 394 daripadanya dalam Unit Infantri, 98 orang di Unit Meriam dan 84 orang di Unit Pancaragam. 

Antara nama besar yang pernah menyertai ATSN ialah pengasas UMNO, Dato' Onn Jaafar, Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussien Onn, dan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail.

Keratan akhbar di awal penubuhan Johor Volunteer Force (JVF)