Social Icons

Tunku Mahkota Johor duduk di bangku pemain bukan satu kesalahan

Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) duduk di bangku pemain simpanan semasa menyaksikan perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

PETALING JAYA - Tindakan kelab Johor Darul Takzim membenarkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim duduk di bangku simpanan pasukan ketika menentang Pahang di Kuantan dalam Liga Super 2013, Selasa lalu, tetap boleh diterima dan tidak menyalahi peraturan pertandingan Liga M.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kad pentauliahan sebagai ketua delegasi skuad Harimau Selatan turut telah dikeluarkan kepada Tunku Ismail oleh pihaknya, sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa seorang presiden persatuan negeri tidak layak berada di situ.

"(Berada di bangku simpanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu) boleh diterima. Kad penauliahan Liga M juga sudah dikeluarkan (kepadanya) sebagai ketua delegasi (Johor Darul Takzim)," kata Azzuddin pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Johor Darul Takzim atau sebelumnya Johor FC tetap tidak terlepas daripada perhatian jawatankuasa itu yang mengarahkannya merundingkan penyelesaian tuntutan oleh bekas jurulatihnya, K. Devan dalam tempoh 30 hari atau jika gagal, terpaksa mendengar kes mereka semula.