Sultan Ibrahim mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor, Dato' Abdul Rahim Ramli di pejabat baginda di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru |
JOHOR BAHRU: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenakan syarat ketat ke atas penerima anugerah dan pingat sempena sambutan ulang tahun baginda ke-54 yang lalu.
Satu proses tapisan telah dilakukan untuk memastikan hanya yang layak sahaja akan diiktiraf, kata baginda.
"Saya mahu melihat apa yang telah mereka lakukan kepada kerajaan dan rakyat. Bagi kakitangan kerajaan, seseorang itu tidak akan secara automatik mendapat Pingat Ibrahim Sultan (PIS) hanya kerana dia telah berkhidmat 20 tahun atau 45 tahun," kata baginda.
Sultan Ibrahim menambah bahawa baginda tidak akan bertolak ansur dengan sikap acuh tak acuh penjawat awam dan akan memberikan syarat lebih ketat berbanding Almarhum ayahandanya dalam memberi anugerah negeri.
Baginda sendiri menyemak senarai calon penerima anugerah bersama-sama Tunku Mahkota dan Jumaah Majlis Diraja Johor.
Selain dari menganugerahkan pingat ketika sambutan di Muar, baginda juga akan menganugerahkan pingat ketika mengadakan lawatan ke daerah-daerah yang baginda lawati.
"Tiada kira masa. Ia memberikan saya peluang untuk bertemu rakyat saya," tambah baginda lagi.
Sultan Ibrahim berkata baginda juga tidak ambil peduli dengan komen negatif berkaitan baginda atau keluarga diraja Johor di laman media sosial.
Sultan Ibrahim juga menafikan dakwaan bahawa telah mengarahkan polis untuk menahan mereka yang menulis artikel yang negatif berkenaan baginda.
"Saya tidak ambil peduli tentang ini. Mengapa saya perlu masuk campur?" Kata baginda sambil menambah bahawa polis hanya bertindak setelah menerima laporan.
Istana tidak mempunyai apa-apa kaitan.
"Saya tidak mahu fikir apa mereka sudah buat. Saya hanya berasa sedih kerana mereka kurang didikan," tambah baginda..
Berhubung dengan komen-komen yang mencaci keluarga diraja Johor di Facebook dan blog beberapa orang telah ditangkap tahun lalu, termasuk juruukur kuantiti berusia 27 tahun.