Social Icons

Sultan Johor rasmikan Masjid Desa Temu Jodoh


LABIS 26 Jan. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan masjid baharu bernilai RM2.5 juta di Desa Temu Jodoh dekat sini semalam.

Sultan Johor berangkat ke Masjid Desa Temu Jodoh dengan memandu 

Rolls-Royce Rolls-Royce Phantom Drophead Coupé 

- Gambar Mohd Haffiz Mahadi




Baginda turut menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di masjid berkenaan dan beramah mesra dengan rakyat jelata selepas itu.


Pengerusi Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Abdul Latif Mohd. Nor melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas kesudian Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat merasmikan masjid tersebut.


"Masjid baharu yang siap dibina penghujung tahun lalu itu memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat menjalankan ibadah serta aktiviti lain kerana masjid lama tidak lagi mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.

Turut berangkat ke Majlis perasmian ialah Tunku Mahkota Johor 

- Gambar Mohd Haffiz Mahadi

"Diharapkan penduduk dapat mengimarahkan masjid yang serba lengkap dan tersergam indah ini dengan menjalankan aktiviti yang boleh membangunkan ummah sebaik mungkin," katanya.


Menurutnya, masjid yang dibina berhampiran jalan utama di atas tanah seluas kira-kira setengah hektar itu juga memberi kemudahan kepada mereka yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat dan sebaliknya untuk singgah menunaikan solat.


Sementara itu bekas bilal Masjid Desa Temu Jodoh, Omar Sarip, 61, menyifatkan pembinaan masjid baharu itu tepat pada masanya kerana masjid lama yang dibina secara bergotong-royong oleh penduduk, kini tidak lagi mampu menampung jemaah yang semakin bertambah.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat penjual tekstil terkenal, Jakel yang menyumbang sebahagian besar kos pembinaan masjid tersebut dan orang ramai serta penduduk setempat yang sudi menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembinaannya.


Bagi Rahmat Kisot, 57, masjid baharu tersebut mampu menyemarakkan lagi syiar Islam dalam kalangan penduduk setempat terutamanya bagi menganjurkan aktiviti keagamaan seperti kelas al-Quran bagi golongan dewasa.