Social Icons

KENYATAAN TUNKU MAHKOTA JOHOR AKAN DISIASAT


Kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) kini dalam bahaya apabila Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan, pihaknya akan menyiasat kenyataan mengenai mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) yang disiarkan akhbar tempatan semalam.

Azzuddin berkata, FAM tidak mengamalkan ‘pilih kasih’ bagi menangani isu terbaru itu dan menegaskan Tunku Ismail tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin andai beliau didapati melanggar Artikel 88 statut badan induk bola sepak tanah air itu.

“Mengenai kenyataan Tunku Ismail yang mengkritik mutu pengadilan Liga M, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM. Tunku Ismail tetap disiasat seperti prosedur biasa dijalankan dalam kes tatatertib.

“Namun, FAM akan meneliti kenyataan Tunku Ismail terlebih dulu sama ada ia berbentuk kritikan atau perhatian kepada FAM,” kata Azzuddin.

Namun, kata beliau apa yang diluahkan oleh Tunku Ismail akan diteliti terlebih dahulu sama ada apa yang diperkatakan adalah satu pandangan berbentuk perhatian atau kritikan.

Dalam sidang media khas di Johor Bahru pada Selasa, Tunku Ismail yang tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan ketika pasukan Johor Darul Takzim (JDT) seri 2-2 dengan LionsXII pada aksi Liga Super menyifatkan mutu pengadilan Liga M lemah, tidak berkualiti dan bertaraf amatur.

Bagi menyokong kenyataannya itu, Tunku Ismail memaklumkan, PBNJ sudah menyerahkan satu salinan video membabitkan JDT dan perlawanan lain kepada FAM untuk menjalankan siasatan.

Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden FAM dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan media dan sekiranya ahli gabungan mahu membuat kenyataan mengenai polisi dan pentadbiran badan induk itu mestilah mendapat kebenaran Kongres terlebih dulu.

Mengulas tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang terus mengecam FAM kerana tidak puas hati dengan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana melanggar Artikel 88, Azzuddin berkata, Shahidan perlu menghormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu.

“Peraturan tetap peraturan. Kes ini sudah dibicara Jawatankuasa Tatatertib FAM dan beliau (Shahidan) dihukum seperti yang termaktub dalam peraturan. Tiada sebarang unsur politik mengenai kes ini dan ia keputusan penuh Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM, bukan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Shahidan yang digantung jawatan mendakwa FAM satu entiti yang meloyakan kerana bukan lagi tempat berpersatuan bagi kebaikan bola sepak Malaysia tapi lebih kepada gelanggang untuk menjatuhkan hukuman serta denda.

Kenyataan Tunku Ismail lebih serius: Annuar
Kuala Lumpur: Kritikan terbuka Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) menarik minat Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang menjadi antara mangsa Artikel 88 Peraturan 2010-2014 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menerusi laman sosial facebook miliknya berkata, kenyataan Tunku Ismail itu lebih serius berbanding apa yang beliau serta Datuk Seri Shahidan Kassim utarakan sebelum ini sekali gus mengundang pertanyaan apakah bakal ada tindakan seterusnya daripada FAM ke atas Tunku Ismail.

“Allah menggerakkan hati seorang lagi presiden persatuan bola sepak negeri untuk mengkritik FAM.

“Kalau sebelum ini kenyataan media hanya hal agak kecil seperti prestasi Harimau Malaya dan hal bayaran kepada pasukan negeri tapi kali ini lebih serius dengan dakwaan pengadil FAM tidak bermutu dan bertaraf amatur.

“Ini (bermakna) meletakkan Liga M dalam situasi tidak bermutu, tidak berwibawa serta pengendalian perlawanan yang tidak sempurna.

“Ia satu lagi kenyataan media berprofil tinggi dan dibuat tanpa kebenaran kongres. Apa pula agaknya tindakan Jawatankuasa Disiplin FAM?” katanya.

Tunku Ismail menerusi laporan Arena Metro kelmarin meluahkan rasa tidak puas hati hingga melabel mutu pengadilan negara ini masih di tahap amatur.

Kelmarin juga menyaksikan Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), digantung dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana kesalahannya membuat kenyataan mengkritik FAM.

Artikel Lain:
TUNKU MAHKOTA JOHOR KECEWA DENGAN MUTU PENGADILAN