Social Icons

MUZIUM TOKOH SARAT SEJARAH


Bangunan lama bekas kediaman menteri besar Johor kini Muzium Tokoh.
Bangunan Dato' Jaafar di Bukit Senyum, Johor Bahru.
Gambar: http://fuadi.johorphotographer.com

Bagunan Dato' Jaafar di puncak Bukit Senyum Jalan Yahya Al-Dattar di sini, yang kini dijadikan Muzium Tokoh bukan saja kaya dengan sejarah malah memiliki tarikan tersendiri berikutan lokasinya yang strategik serta reka bentuk menarik.


Bangunan yang terletak di tengah bandar raya dan menghadap Selat Tebrau dan Singapura itu dibina pada 1886 sebagai kediaman rasmi menteri besar pertama Johor, Dato' Jaafar Muhammad iaitu bapa kepada Presiden UMNO pertama Dato' Onn Jaafar ketika pemerintahan Sultan Abu Bakar.

Difahamkan, lokasi itu dipilih bagi memudahkan menteri besar meninjau keadaan Johor Bahru berikutan kedudukannya yang tinggi dan boleh melihat hampir keseluruhan bandar raya ini.

Bagaimanapun fungsinya sering berubah mengikut peredaran zaman termasuk dijadikan Maktab Perguruan Bahasa sebelum dipindahkan ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur, markas tentera Jepun dan Inggeris, Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Terkini, bangunan itu diserahkan kepada Yayasan Warisan Johor (YWJ) untuk dibangunkan sebagai Muzium Tokoh dua tahun lalu.


Kurator Muzium Tokoh, Noor Ain Bidin berkata, bangunan di tengah raya itu diadaptasikan sebagai Muzium Tokoh, namun belum dibuka secara rasmi kepada orang awam.


Menurutnya, rekabentuk bangunan tersebut menyamai beberapa bangunan lama England seperti Istana Menara Empat, Hardwick Hall dan River Castle, mempunyai empat menara di setiap penjuru selain kubah berbentuk payung dan tangga untuk naik ke ruang atas.


"Bangunan ini warisan tinggalan pemimpin terdahulu, Dato' Jaafar Muhammad selain kediaman rasmi ketika menjadi menteri besar.


"Justeru wajarlah generasi kini memelihara tinggalan sejarah supaya ia bertahan untuk tatapan generasi akan datang.


Biarpun bangunan ini belum dibuka secara rasmi, kebanyakan pengunjung datang kesini teruja bergambar di dalam bangunan dan naik ke tingkat atas, namun kami hanya membenarkan mereka mengunjungi ruang pameran di aras satu dan bergambar di luar," katanya.