Social Icons

'Jangan bimbang diatas penggantungan yang saya hadapi' - Tunku Ismail

Tunku Ismail berkata, keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang menggantungnya selama enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan denda RM18,000 dihormati sepenuhnya dan menganggap isu berkenaan sebagai selesai. 

"Jangan bimbang di atas penggantungan yang saya hadapi. 

"Saya masih bersama-sama anda sebagai Tunku Mahkota Johor dan saya akan sentiasa memastikan bahawa kita (Johor) bakal menjadi satu pasukan yang kuat dan disegani di negara ini," katanya.
Beliau turut menasihatkan penyokong negeri ini supaya sentiasa menjaga disiplin dan tatatertib serta tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang negatif. 

Tunku Mahkota Johor berkata, PBNJ merupakan persatuan bola sepak paling profesional dalam negara ini dengan struktur dan pengurusan yang kuat serta tersusun. 

Justeru itu, baginda berharap semua penyokong negeri ini memiliki sikap berhemah dan semangat kesukanan yang tinggi sekali gus menjadi kebanggaan di kalangan penyokong bola sepak di seluruh negara. 

"Saya juga menyeru dan mahu para penyokong mempunyai sikap berhemah selain mempunyai semangat kesukanan dan juang yang tinggi dan boleh menjadi kebanggaan di kalangan penyokong bola sepak di negara ini," katanya.

Selain itu, Tunku Ismail turut menyeru kepada rakyat negeri ini supaya sentiasa bersatu dalam memberi sokongan kepada pasukan Harimau Selatan. 

Selain menggantung dan mendenda Tunku Mahkota Johor, Jawatankuasa Tatatertib FAM juga mengenakan denda RM10,000 ke atas PBNJ kerana insiden pembakaran suar oleh penyokong Johor Darul Takzim dan RM20,000 berkaitan keselamatan ketika pasukan itu menentang Negeri Sembilan pada 2 Mac lalu.