Social Icons

SULTAN PAHANG DUKACITA TUNKU MAHKOTA JOHOR LETAK JAWATAN




KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim diminta mengkaji semula keputusannya meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bagi memastikan sukan itu tidak ketandusan pemimpin berkaliber.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (Pafa), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sokongan peminat bakal berkurangan jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus bertindak menjatuhkan hukuman kepada pemimpin sukan yang berkebolehan seperti baginda.

"TMJ adalah seorang pemimpin yang begitu komited dan berbakat bagi meneruskan kelangsungan usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak baik di peringkat negeri Johor mahupun negara," katanya kepada Bernama.

Semalam, Tunku Ismail dalam satu kenyataan media bertitah melepaskan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, baginda digantung enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak serta didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah mengkritik mutu pengadilan bola sepak tempatan sekali gus melanggar Artikel 88 FAM.

Turut senada dengan Shahidan ialah Penaung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan keputusan TMJ itu boleh merugikan kemajuan bola sepak tanah air.

"TMJ adalah seorang yang gigih...baginda berjaya membawa perubahan besar kepada pasukannya apabila berjaya membawa kembali minat dan kepercayaan peminat bola sepak memenuhi stadium setiap kali berlangsungnya perlawanan melibatkan pasukanya," katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata terdapat banyak peraturan yang tidak wajar digunakan dalam sukan bola sepak terutamanya oleh FAM, sehingga ada sesetengah individu membuat tafsiran masing-masing mengenai peraturan berkenaan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah turut meluahkan rasa dukacita susulan peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam.

Sambil mengharapkan Tunku Ismail mengubah keputusannya, Sultan Ahmad Shah bertitah sejak meneraju PBNJ, TMJ diterima baik peminat bola sepak Johor.

"...saya rasa mereka (peminat dan PBNJ) memerlukannya," titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak Asean, di sini semalam. - Bernama