Social Icons

MALAM SEDIH BUAT GUIZA DAN DEL NERO

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail menenangkan Guiza - Pic Rizal Abdullah sports247.my


Ia merupakan satu malam yang sedih bagi pemain import  Johor Darul Takzim, Daniel Guiza dan Simone Del Nero untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia.

Walau bagaimanapun, kedua-duanya menyatakan bahawa mereka bersedia untuk kembali jika diberi peluang sekali lagi.

"Peminat di sini adalah berbeza dan mereka membuatkan kami seperti berada di negara sendiri. Kami akan kehilangan mereka dan suasana bola sepak di Stadium Larkin," kata Guiza, yang meninggalkan Johor Darul Takzim sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan lapan gol, enam dalam liga dan dua dalam kempen Piala FA.

"Saya akan kembali ke Sepanyol dan Getafe FC. Saya berasa sedih tidak dapat membantu Johor Darul Takzim menewaskan Selangor, tetapi berharap mereka mampu mencapai keputusan yang positif di Shah Alam," kata Guiza yang membantu negaranya memenangi Euro 2008.

Berkenaan penalti yang terlepas, Guiza berkata: "Saya tidak berada di bawah sebarang tekanan apabila mengambil sepakan itu dan tidak pula saya diganggu oleh pemikiran bahawa ia adalah perlawanan terakhir saya. Ia adalah sepakan biasa saya lakukan tetapi penjaga gol (Selangor) dapat membaca sepakan itu.

Rasa sedih Guiza turut dirasakan Del Nero, yang akan digantikan oleh pemain Brazil Andre Francisco."Saya harap saya boleh tinggal lebih lama. Saya akan sentiasa mendoakan Johor Darul Takzim dan penyokong akan berjaya," katanya.

"Saya ingin menjadi sebahagian daripada pasukan Johor Darul Takzim jika diberi peluang sekali lagi. Ia hanya kerana kecederaan yang saya alami dan terlepas beberapa perlawanan. Saya berterima kasih kepada semua yang mengambil berat sepanjang saya berada di sini. Kenangan ini tidak akan saya lupakan.

Pada akhir perlawanan Guiza dan Del Nero membuat pusingan penghormatan untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong Johor Darul Takzim.

Comment

www.kesultanananjohor.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.