Social Icons

JANGAN JUAL NAMA SULTAN JOHOR


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandang serius terhadap jenayah penyamaran dan penyalahgunaan gelaran kerabat atau pangkat bagi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Negeri Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, baginda pernah bertitah mengenai hal itu dan menyuarakan kebimbangan lebih ramai rakyat akan tertipu sekiranya tidak berhati-hati.

“Baginda amat mengambil berat akan hal ini kerana baginda tidak mahu pihak istana dan keluarga diraja dipandang serong oleh masyarakat.

“Baginda juga tidak mahu rakyatnya tertipu dan sering menasihatkan supaya rakyat sentiasa berhati-hati dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dengan mempergunakan nama Sultan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, baginda turut mengikuti perkembangan kes penyamaran seorang pemandu lori yang mengaku mendapat gelaran ‘Datuk Seri’ yang didakwa diperoleh daripada Sultan Johor, awal Jun lalu.

Katanya, setakat ini seramai 763 individu menerima gelaran ‘Datuk’ dari Sultan Johor sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar pada 1886 dan kini hanya lebih kurang 150 orang dari mereka masih hidup.

“Untuk pengetahuan semua, Johor tidak pernah mengeluarkan gelaran ‘Datuk Seri’ kepada mana-mana pihak dan kini hanya terdapat kira-kira 150 penerima gelaran yang masih hidup,” katanya.

Gelaran Datuk tiada keistimewaan

Selain itu, katanya, penerima gelaran atau pangkat ‘Datuk’ dari Sultan Johor tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan masyarakat diingatkan agar tidak tertipu dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“Penerima gelaran ‘Datuk’ memang tiada apa-apa keistimewaan, kemudahan mahupun menerima apa-apa elaun.

“Sebaliknya mereka terikat kepada syarat yang ditetapkan antaranya perlu taat kepada Sultan, menjaga integriti masing-masing, tidak terlibat dalam jenayah dan korupsi mahupun maksiat.

“Bagi yang beragama Islam mereka perlu taat kepada Allah, jika berlaku pelanggaran dalam syarat-syarat berkenaan maka gelaran berkenaan berhak ditarik balik,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, tidak ada sebarang persatuan atau lambang khas diwujudkan dalam kalangan penerima gelaran ‘Datuk’ dari Sultan Johor bagi menunjukkan keistimewaan mereka.

“Lambang Jata Negeri hanya boleh digunakan oleh kenderaan rasmi Kerajaan Negeri seperi kenderaan Menteri Besar dan Exco.

“Selain dari itu, mana-mana pihak yang menggunakan logo mahupun apa-apa lambang dianggap menyalahi Enakmen Senjata dan Bendera Negeri 1921 serta boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Abdul Rahim turut menyarankan semua pihak agar membuat semakan sebelum berurusan dengan mana-mana individu yang mendakwa sebagai kerabat diraja Johor atau mempunyai gelaran Datuk.

“Johor merupakan negeri pertama yang mengurniakan gelaran ‘Datuk’ dan saya kenal semua individu yang menerima gelaran ini.

“Jadi kepada mana-mana pihak yang ingin membuat urusan dengan individu yang mengaku sebagai kerabat agar membuat semakan terlebih dahulu supaya tidak tertipu,” katanya.

Empat susur galur kerabat diraja 

Sementara itu Abdul Rahim menjelaskan, kerabat diraja Johor terdiri daripada empat lapisan salasilah keluarga termasuk bapa saudara atau ibu saudara, isteri, adik-beradik, anak dan cucu kepada Sultan yang memerintah negeri.

Beliau berkata, selain daripada empat susur galur yang dinyatakan, keluarga atau individu lain tidak dianggap sebagai kerabat walaupun lahir dalam keluarga yang sama.

“Empat lapisan berkenaan digelar sebagai ‘kerabat damping’ dan mereka membawa gelaran Yang Amat Mulia.