Social Icons

“FAM perlu belajar daripada kesilapan" - TMJ

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disarankan supaya belajar daripada kesilapan yang berlaku sepanjang tahun ini dan mengelaknya berulang lagi di musim hadapan.

Saranan itu dilontarkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Cadangan itu dibuat untuk membantu dalam usaha meningkatkan mutu permainan bola sepak negara supaya mencapai taraf profesional.

“Cara terbaik ialah FAM perlu belajar daripada kesilapan tersebut dan kemudian mendapatkan idea bagaimana mahu perbaiki (mutu permainan). (Apa yang menjadi) perkara penting ialah jangan angkuh dan bodoh sombong, (FAM) mesti ada telinga, mesti belajar dan terima suara-suara peminat bola sepak negara ini.

“Bagi saya, kenyataan FAM yang kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berdendam, tidak wajar kerana beliau adalah menteri (portfolio sukan) yang muda dan mempunyai visi. Saya melihat beliau menjalankan tanggungjawabnya. Yang mana tidak betul, dia tegur, sama ada dalam sistem jualan tiket, mahupun (yang berkaitan dengan) tahap keselamatan.

“Perkara ini sepatutnya dilakukan FAM sejak lima (atau) enam tahun lalu. Bila ada teguran, baru hendak bertindak satu persatu,” katanya pada sidang media di Istana Bukit Pelangi, di sini, semalam.

Tunku Ismail turut menawarkan diri membantu badan itu untuk melantik pengadil profesional dari luar.

“Saya rasa antara perkara yang boleh diperbaiki ialah (dari segi) mutu pengadilan dan saya boleh membantu untuk mendapatkan khidmat pengadil profesional.

“Niat saya sekadar membantu, tiada niat lain untuk campur tangan agar tahap bola sepak negara berada di kedudukan yang profesional. Jika bajet tidak cukup, kita mulakan dengan pelantikan 50 pengadil,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pembakaran suar ditegah dalam stadium dan PBNJ akan mendidik penyokong untuk mematuhi peraturan itu.

“Saya akan mendidik peminat bola sepak negeri ini untuk tidak membakar suar. Kita mahu penyokong negeri ini menjadi contoh, di mana kita ambil tindakan yang patut bukan sahaja melahirkan persatuan yang profesional, (tetapi) ia termasuk dalam kalangan penyokong.

“Kita akan tingkatkan mutu keselamatan di stadium di negeri ini dan ia menerima respons baik daripada polis dan kita akan tempatkan pengimbas alatan metal serta pengawasan lebih ramai anggota beruniform ketika perlawanan,” katanya. - Sinar