JOHOR BAHRU 20 Mac - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut bersedih atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 sejak 8 Mac lalu berharap kapal terbang itu dapat ditemukan segera.
Pada masa sama, baginda turut melahirkan keyakinan pesawat Boeing 777-200 itu akan ditemukan berdasarkan pelbagai kecanggihan teknologi sedia ada.
"Saya berharap mereka dapat selesaikan semua masalah secepat mungkin. Dengan teknologi sekarang yang dunia ada ini, mustahil tiada orang boleh kesan kapal terbang sebesar itu.
"Apa pun kita perlu mendoakan yang terbaik untuk penumpang serta anak kapal dan berharap keluarga mereka tabah menghadapi dugaan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada pemberita semasa melawat pusat kecergasan pasukan Johor Darul Tazim (JDT) yang baru diubah suai dengan kos dianggarkan sebanyak RM3 juta di Padang Seri Gelam di sini hari ini.
Dalam kejadian 8 Mac lalu, pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang.
No comments:
Post a Comment