Social Icons

Sambutan 100 Tahun Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

JOHOR BAHRU 19 Mac - Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) menaja sebanyak 10,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia sempena Sambutan 100 Tahun Yang Gemilang MSAB pada Jumaat ini.

Naib Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar dan Bekas Kakitangan MSAB (ECA), Ungku Abdul Rahman Ungku Ibrahim berkata, sambutan ulang tahun sekolah tersebut bertujuan meningkatkan semangat para pelajarnya untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan.

“Sambutan 100 Tahun Yang Gemilang MSAB ini selain bertujuan mengimbau nostalgia dan pelbagai kejayaan yang telah dicapai sekolah ini juga bagi membangkitkan semangat para pelajar generasi kini.

“Ini sebagai pemangkin kepada mereka untuk mengukir sejarah kegemilangan sehingga 100 tahun akan datang pula," katanya selepas menyampaikan replika cek tajaan akhbar di pekarangan sekolah tersebut, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan English College 100 Tahun, Zais Samsudin Md. Ariff dan Eksekutif Pemasaran Wilayah Selatan Kumpulan Utusan, Shahrul Azhar Yaakob (kanan).

Sempena sambutan ulang tahun tersebut, pelbagai program dianjurkan seperti Pelancaran 100 Hari Menjelang 100 Tahun MSAB, Pelancaran Setem 100 Tahun MSAB, Cabaran Berbasikal 100 Tahun MSAB dan Pameran 100 Tahun MSAB.

Dapatkan Buku Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012 di Majlis Sambutan 100 Tahun Maktab Sultan Abu Bakar 
Malam kemuncak majlis sambutan MSAB yang dahulunya dikenali sebagai English College (EC) dijadual dirasmikan oleh Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar yang juga alumni sekolah tersebut.

Selain itu, satu upacara khas akan turut diadakan iaitu membuka kapsul amanat oleh Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid yang disimpan rapi sejak 30 tahun lalu.

Ungku Abdul Rahman berkata, ECA yang ditubuhkan sejak tahun lalu bertujuan mengumpulkan individu yang pernah belajar atau bertugas di sekolah tersebut bagi mengeratkan hubungan silaturahim yang pernah terjalin suatu ketika dahulu.

“Selain itu, persatuan ini juga berperanan menganjurkan dan memberi sokongan kepada pelbagai program lain yang akan dijalankan oleh pihak sekolah," katanya.

No comments:

Post a Comment