Social Icons

10,000 hadir ke Jamuan Teh Hari Keputeraan Sultan Johor


JOHOR BAHARU, 23 Nov -- Sultan Johor Sultan Ibrahim, Ahad berkenan berangkat menghadiri majlis Jamuan Teh sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda bersama kira-kira 10,000 rakyat di Dataran Bandaraya, di sini.

Baginda yang diiringi Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba di majlis itu pada 3.30 petang.

Berangkat sama menghadiri majlis berkenaan ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan isteri Che' Puan Khaleeda Bustamam, bonda Sultan Johor Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, paduka putera dan puteri baginda kecuali Tunku Jalil dan kerabat diraja lain.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, exco kerajaan negeri dan pegawai kerajaan negeri.

Sultan Ibrahim berkenan melihat pelbagai kek yang dipersembahkan sempena hari keputeraan baginda dan kek berkenaan kemudian diagih kepada rakyat yang hadir.

Baginda memotong sebuah kek ulang tahun keputeraan sebelum bersalaman dengan rakyat yang hadir.

Hujan seketika tidak menghalang orang ramai menikmati pelbagai juadah yang disediakan termasuk sate dan makanan tradisi Johor lain.

Majlis itu diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan pelbagai kaum dan masyarakat Orang Asli Johor.


No comments:

Post a Comment