Social Icons

BUKU ADAT ISTIADAT DIRAJA JOHOR LARIS SEMPENA KEMAHKOTAAN DYMM SULTAN JOHOR


JOHOR BAHRU, 8 Mac 2015 – Dua buah buku hasil tulisan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Rahim Bin Ramli  berjudul “Sejarah Adat Istiadat Diraja Johor” dan “Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012” yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM Press) mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Hal ini tentunya berkaitan dengan majlis bersejarah iaitu Istiadat kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Ibn Almarhum Sultan Iskandar yang akan berlangsung pada 23 Mac 2015 akan datang.

Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman berkata, cetakan pertama buku yang ditulis oleh Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Dato’ Abdul Rahim Ramli diterbitkan pada tahun 2011 telah habis dijual. Buku tersebut telah diulang cetak sebanyak 1,000 naskhah lagi pada tahun 2013 bagi memenuhi permintaan orang ramai. Banyak pihak sama ada individu atau organisasi berusaha mendapatkan buku tersebut untuk mengetahui lebih lanjut mengenai adat distiadat diraja Johor yang sangat unik dan istimewa itu. Tambahan pula, majlis kemahkotaan DYMM Sultan Johor kali terakhir pernah diadakan pada 10 Februari 1960, iaitu dibawah pemerintahan DYMM Sultan Ismail.

Kedua-dua buah ini mengandungi pelbagai maklumat dan gambar-gambar mengenai peralatan diraja yang berfungsi sebagai unsur yang memberi nilai legitimasi dan kedaulatan kepada raja pemerintah yang berdaulat. Antaranya peralatan diraja termasuklah mahkota raja, regalia permaisuri, cogan agama, cogan alam, keris diraja, lembing istiadat, payung diraja, bendera diraja, jata diraja dan darjah kebesaran. Jata diraja Johor selepas zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar dilakarkan dengan tulisan SI. SI merujuk kepada pemerintahan DYMM Sultan Ibrahim, DYMM Sultan Ismail, DYMM Sultan Iskandar dan yang terkini DYMM Sultan Ibrahim. Hampir kesemua peralatan diraja ditulis kalimah Allah dan Muhammad serta moto “Kepada Allah Berserah”. Selain daripada itu, peralatan diraja juga dihiasi dengan gambar gambir dan lada hitam. Pihak istana Johor mengambil awan larat tersebut kerana ia berkaitan dengan sejarah ekonomi penanaman gambir dan lada hitam yang diasaskan oleh almarhum DYMM Sultan Abu Bakar.

Pengarah UTM Press berpendapat kedua-dua buah buku ini mempunyai nilai ilmiah yang tinggi. Ia merupakan gabungan hasil penyelidikan dan pengalaman peribadi penulis yang secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam merancang, mengurus dan melaksanakan majlis istiadat diraja dalam Kesultanan Johor selama 50 tahun. Dato’ Abdul Rahim Ramli yang juga Karwayan Tamu UTM mempunyai pengalaman yang sangat luas kerana pernah berkecimpung sebagai petugas di dalam istana pada tahun 1970 bagi upacara menyampaikan ucapan dan pingat kebesaran. Beliau juga pernah berkhidmat dengan istana sebagai pegawai isdiadat dan menjalankan tugas Bentara Kiri, Dato’ Bentara Kanan dan Dato’ Penghulu Bicarana. Daripada segi pentadbiran, Dato’ Abdul Rahim pernah menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor dan yang terkini Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor.

Secara keseluruhan, kedua-dua buah buku ini mempunyai pelbagai maklumat berkaitan adat istiadat diraja Johor. Sebelum memulakan penjelasan mengenai adat istiadat diraja Johor, buku ini juga memuatkan latar belakang sejarah Kesultanan Johor. Buku kedua beliau banyak memuatkan sejarah pelantikan dan pemasyhuran waris atau Tunku Mahkota Johor, dan istiadat pelantikan raja. Selain daripada itu, terdapat pemaparan istiadat kemahkotaan Sultan Johor, istiadat perkahwinan diraja dan istiadat pemakaman diraja. Penulisan sejarah ini penting untuk menanamkan kesedaran patriotisme dan nasionalisme yang mendalam dalam kalangan rakyat khususnya di negeri Johor.

Selain daripada itu, pengkaryaan buku ini membolehkan generasi masa kini boleh menghayati perjuangan kepemimpinan terdahulu dalam memartabatkan sebuah sistem pemerintahan beraja dan mendaulatkan sebuah kerajaan yang merdeka. Jelasnya, penubuhan Kesultanan Johor telah memartabatkan sebuah kerajaan yang mendaulatkan Melayu-Islam selepas kejatuhan Kesultanan Melaka Melaka ditangan penjajah Portugis pada tahun 1511. Di sinilah terletaknya keistimewaan Kesultanan Johor Moden yang diterajui oleh DYMM Sultan Abu Bakar dalam mentransformasikan sebuah kerajaan yang merdeka dan berdaulat berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada 14 April 1895. Justeru itu, Kesultanan Johor berjaya melestarikan sebuah pemerintahan yang progresif, maju dan makmur berdasarkan tiga tagline iaitu “Johor mesti jadi Johor”, “Kepada Allah Berserah” dan “Muafakat itu Berkat”. Pada masa kini, tagline yang paling masyhur dan popular ialah “Johor; Luas Kuasamu”.

Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Rahim Bin Ramli (Tengah) memenangi Anugerah Buku Negara 2013 (Kategori Buku Warisan Sejarah)

DYMM Sultan Ibrahim sendiri telah berkenan memberikan titah pengantar dalam buku yang dihasilkan oleh Dato’ Abdul Rahim Ramli. Menurut baginda, “Bermula era pemerintahan Temenggong, negeri Johor Darul Ta’zim menyerlahkan kemajuan daripada aspek tadbir urus, ekonomi, politik tempatan, bahkan merentas aspek hubungan antarabangsa. Senario ini berkembang pesat dalam era pemerintahan Kesultanan Johor berikutnya yang dilihat sebagai asas bagi kemajuan masa kini”.


Berdasarkan penerbitan buku ini, DYMM Sultan Ibrahim amat menghargainya dengan bertitah bahawa “saya menaruh harapan penuh bahawa karya yang dihasilkan daripada hasil penyelidikan dokumen istana dan kerajaan serta pengalaman penulis sendiri melebihi lima puluh tahun mengatur, mengurus dan melaksanakan istiadat istana seharusnya dijadikan khazanah dan panduan kepada rakyat saya dan pembaca mempelajari dan menghayati adat resam dan budaya istana. Warisan ini hendaklah terus dihidup dan diperkayakan bagi menjana dan memperkukuhkan semangat kesetiaan rakyat terhadap institusi Raja”.

Daulat Tuanku!

No comments:

Post a Comment