Social Icons

ISTIADAT HOL ALMARHUM

Oleh YANG BERHORMAT DATO' ABDUL RAHIM RAMLI

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengaminkan doa di makam Almarhum Sultan Iskandar
Istiadat Hol Almarhum Sultan Iskandar akan diadakan pada hari Ahad 6 Safar 1438 bersamaan 6 November 2016. Hari Hol diadakan untuk berdoa kehadrat Allah SWT mohon limpah keampunan Nya kepada Roh mereka yang telah kembali ke Rahmatullah dan supaya dihimpunkan mereka dikalangan Solihin. Hari Hol juga di adakan bagi menghormati dan memperingati jasa dan khidmat bakti Sultan yang mangkat.

Istiadat diadakan pada ulangtahun hari pemakaman Almarhum mengikut tarikh Hijrah. Istiadat yang pertama dalam sejarah Johor Moden ialah bagi Almarhum Sultan Abu Bakar pada 17 Rabiul Awal 1313.

Pada awalnya istiadat ini dikhaskan untuk Almarhum Sultan Abu Bakar sahaja. Mulai tahun 1928 istiadat hol diqasad sekali mengandungi segala hol kerabat yang lain yang dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah.

Makam DiRaja Mahmoodiah (1910)
Makam DiRaja Mahmoodiah yang dibina pada tahun 1895 terletak  didalam kawasan perkuburan Islam seluas 3.3 hektar di Bukit Mahmoodiah. Tanah perkuburan ini mula digunakan selepas pembukaan Iskandar Puteri dalam tahun 1855. Nama Mahmoodiah diambil dari perkataan bahasa Arab bermakna tempat yang terpuji yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

Bangunan ini asal nya berbentuk panjang bersorong lapan mengandungi beberapa makam kerabat yang telah sedia berada disitu, serta beberapa ruang untuk kegunaan masa hadapan. Bumbung bangunan berbentuk kubah berkemuncak sebuah mahkota, dan bulan sabit dan bintang iaitu lambang Islam.  Sebuah bangunan tambahan dengan rekabentuk yang sama dibina pada tahun 1970. Sehingga kini bangunan itu mengandungi 44 makam termasuk makam Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Ibrahim, Sultan Ismail, Sultan Iskandar, Suri serta kerabat diraja.

Istiadat diadakan dalam dua bahagian, iaitu ziarah makam oleh Tuanku, Kerabat dan dif serta berdoa, diikuti majlis tahlil di Istana Besar. Mulai tahun ini majlis tahlil akan di adakan pada malam sebelum hari Hol. Pertama kalinya dif perempuan dijemput untuk majlis tahlil.

Kehadiran ke istiadat ini adalah dengan jemputan, terhad kepada lelaki Islam, termasuk Kerabat DiRaja, Menteri Besar, Ahli-ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’-dato’ Johor, Wakil Rakyat, Pegawai Tadbir Negeri Johor, Ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, dan Penghulu.

Pakaian yang ditetapkan ialah Baju Melayu Telok Belanga warna hitam, kain samping hitam tidak bercorak bedagang luar, songkok hitam, sepatu dan setokin hitam. Pakaian serba hitam mula dipakai pada tahun 1898. Kain samping songket tidak sesuai kerana songket melambangkan kemeriahan. Tidak ada larangan warna bagi Kerabat Damping yang biasannya memakai Baju Melayu Telok Belanga bagi mengekalkan tradisi dan budaya Melayu.

Istiadat bermula jam 8.00 pagi dengan dif mengambil tempat duduk bersila dalam bangunan makam. Mufti dan lain-lain pegawai agama duduk berhadapan makam Almarhum Sultan Iskandar.

Sementara itu Pasukan Penjawat Istana seramai 40 orang dibawah kelolaan Dato’ Penghulu Istiadat beratur menunggu keberangkatan tiba DYAM Tunku Mahkota Johor. Tongkat jawatan dan dua payung istiadat warna putih dibawa bersama tetapi payung ditutup. Sebaik sahaja DYAM Tunku Mahkota berangkat sampai Mufti memberi salam dan membaca Surah Al-Ikhlas diikuti para hadirin membacanya berturut turut seberapa banyak yang boleh.

Mufti membaca doa khas apabila DYMM Tuanku berangkat masuk ke bangunan makam. Menteri Besar, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja didahului Dato’ Penghulu Istiadat mengiring Tuanku menziarah makam Almarhum Sultan Iskandar,  Almarhum Tunku Abdul Jalil Tunku Laksamana Johor, Almarhum Sultan Ismail, Almarhumah Sultanah Aminah, Almarhumah Tunku Ampuan Maimunah, kemudian makam Almarhum Sultan Abu Bakar dan Almarhum Sultan Ibrahim. Mufti membaca doa selepas Tuanku meletakkan bunga dan mencucur air mawar disetiap makam.

DYAM Tunku Mahkota, YAM Paduka Putera-Putera, YAM Tunku Bendahara dan lain Kerabat diiringi oleh Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja menziarah dan meletakkan bunga dan mencucur air mawar dimakam almarhum kerabat mengikut kumpulan yang ditentukan. Kadi daerah membaca doa bagi setiap kelumpuk makam dengan menyebut nama setiap almarhum.

DYMM Tuanku menziarah makam kerabat di kawasan Kota Raja, iaitu satu kawasan bersebelahan Makam DiRaja yang dikhaskan untuk kerabat lain. Hingga kini 405 orang kerabat telah dimakamkan di Kota Raja.

Setelah selesai ziarah Mufti membaca doa penutup.

Penulis,
Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli
Yang DiPertua
Jumaah Majlis DiRaja Johor
1 November 2016

Pesanan Buku Sejarah DiRaja Johor
Whatsapp 019-799-8249

ISTANA BIDADARI


Oleh YANG BERHORMAT DATO' ABDUL RAHIM RAMLI

Pada 10 Mac 1855 Sultan Ali menandatangan perjanjian menyerahkan kerajaan dan negeri Johor melainkan jajahan Kesang kepada Temenggong Daing Ibrahim, dengan bayaran pampasan. Temenggong memerintah Johor dari Telok Belanga.

Maharaja Abu Bakar menaiki takhta Kerajaan Johor pada tahun 1862 meneruskan pemerintahan Johor dari Singapura kerana Baginda berhasrat mempelajari selok belok sistem pengurusan dan pentadbiran British. Dalam masa yang sama Baginda meneliti strategi politik dan dasar penjajahan British. Hasil penelitian itu, Baginda berjaya menggubal perancangan termasuk reformasi dalaman bagi mengekang cita-cita British dari campur tangan dalam pentadbiran baginda. Maharaja Abu Bakar berjaya mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negeri Johor dari dijajah British selama 30 tahun berturut-turut.

Semasa bersemayam di Singapura, Baginda membeli beberapa hartanah disitu dari hasil pendapatan monopoli perdagangan gambir dan lada hitam yang diwarisi dari paduka ayahanda Baginda. Pembelian harta itu bukan sahaja menambah khazanah keluarga diraja bahkan lebih dari itu memperkasakan status Baginda sebagai Raja yang merdeka, berkemampuan, berdikari dan tidak mengharapkan bantuan dari pihak luar.


Dalam tahun 1860an Maharaja Abu Bakar membeli sebuah rumah kediaman serta 45 acre tanah Bidadari Estate di daerah Serangoon daripada rakan karibnya Henry Minchin Simons. Kediaman itu dinamakan Istana Bidadari tempat persemayaman suri kedua Baginda Enche’ Besar Zubaidah Binti Abdullah.

Enche’ Besar Zubaidah (nama asal Cecilia Catherina Lange sebelum memeluk agama Islam dan bernikah dengan Abu Bakar pada tahun 1868 ketika berusia 20 tahun) adalah anak perempuan kepada Mad Johansen Lange seorang bangsawan dan pedagang bangsa Dane yang menjalankan perniagaan di Bali dan isterinya  Nonya Teh Sang Nio anak Kapitan Cina Bali.

Enche’ Besar Zubaidah (1849-1936)
Asal usul nama “Bidadari” adalah samar-samar dan sukar disahkan. Nama itu telah wujud sebelum Abu Bakar membeli harta tersebut. Laporan akhbar ketika itu pernah menyebut terdapat sebuah kolam disitu yang kononnya tempat mandi-manda pari-pari atau bidadari. Ada pula pihak berpendapat tempat itu diberikan oleh kerana kecantikan dan perwatakan Enche’ Besar Zubaidah menyerupai seorang bidadari.



Hasil pengkongsian hidup pasangan diraja itu dikurniakan seorang puteri Tunku Mariam pada tahun 1871. Tunku Mariam bergelar Tengku Ampuan Pahang setelah bernikah dengan Sultan Pahang. Tunku Ibrahim Iskandar yang diputerakan di Istana Bidadari pada tahun 17 September 1873 menaiki takhta kerajaan Johor sebagai Sultan Ibrahim pada tahun 1895.


Enche’ Besar Zubaidah berpindah dan bersemayam di Johor Bahru pada tahun 1886 dan dikatakan tidak pernah keluar dari Johor sehingga akhir hayatnya pada 2 Jun 1936, berusia 88 tahun.

Istana Bidadari menjadi satu pengorbanan dalam arus pembangunan pesat Singapura. Pada tahun 1905 Kerajaan Singapura setelah berunding selama tiga tahun dengan Dato’ Jaafar Mohammad Menteri Besar Johor selaku Pemegang Amanah Bidadari mengambil alih keseluruhan Bidadari Estate untuk tujuan awam, dengan bayaran gantirugi $2500 seekar.


Kawasan tersebut dijadikan tanah perkuburan berasingan bagi orang Islam, penganut agama Christian, Hindu dan Sinhalese. Perkuburan Islam mula digunakan pada Februari 1910 dan sebuah masjid dibina dikawasan itu.


Pada tahun 1972 kawasan perkuburan Bidadari yang mengandungi 147,000 kubur pada ketika itu ditutup kegunaannya. Pada November 2001 semua kubur telah dipindahkan ke kawasan lain. Setelah dibersihkan Bidadari Estate dimajukan dengan projek pembangunan bandar termasuk sebuah seksyen MRT.

Kini Istana Bidadari hanya tinggal dalam kenangan warisan Kesultanan Johor.

Penulis,
Yang Berhormat Dato' Abdul Rahim bin Ramli,
Yang Dipertua
Jumaah Majlis Diraja Negeri Johor

23 November 2016

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor sila
hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)



SYARAT KETAT ANUGERAH 'DATO' JOHOR

Oleh YANG BERHORMAT DATO' ABDUL RAHIM RAMLI

Sultan Abu Bakar
Photo  
Getty Images
MAHARAJA Abu Bakar membawa balik beberapa inovasi dari pengalaman baginda melawat England dan Eropah untuk menjadikan Johor sebagai negeri moden dan bertamadun. Baginda merupakan Raja Melayu yang pertama membuat lawatan ke England dalam tahun 1866 dan seterusnya sebanyak enam kali melawat England dan Eropah.

Baginda berhasrat Johor kekal sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat dan mendahului negeri-negeri lain. Dengan termetrinya Perjanjian Setia yang ditandatangani baginda dengan kerajaan Ratu Victoria pada 11 Disember 1885 bukan sahaja Inggeris mengiktiraf Johor sebagai negeri merdeka bahkan lebih daripada itu mengiktiraf Abu Bakar dan waris-waris gantinya sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Johor dan Segala Jajahan Takluknya. Pengiktirafan ini menambah lagi kedaulatan Abu Bakar dan menyingkir anggapan baginda hanya seorang bangsawan tetapi tidak berdarah raja.

Tidak seperti Raja-raja lain, Sultan Abu Bakar tidak menunggu Inggeris menakluk negerinya dan menghadiahkan darjah dan bintang sebagai balasan. Malah baginda membawa "peperangan" dengan Inggeris ke gelanggang mereka sendiri iaitu England. Dengan itu terzahirlah Perjanjian Setia yang memberi perlindungan daripada ancaman Inggeris.

Persetiaan ini merupakan satu kemenangan moral bagi Abu Bakar terhadap Inggeris yang sentiasa merancang untuk meletakkan Johor di bawah pentadbiran dan takluknya sebagaimana yang telah dilakukan ke atas negeri-negeri lain.

Sultan Abu Bakar berjaya bertahan dan mematahkan perancangan Inggeris yang bertubi-tubi selama 30 tahun.

Selepas Abu Bakar memindahkan pusat pentadbiran dari Telok Belanga ke Iskandar Puteri (sekarang Johor Bahru) dalam tahun 1858, baginda menubuhkan sistem pentadbiran moden yang menjadi asas pengurusan sekarang.

Baginda menubuhkan sebuah Jemaah Menteri mengandungi 12 orang pengikut-pengikut baginda yang taat setia, dan sebuah Dewan Negeri dengan tambahan 12 orang lagi termasuk dua orang wakil masyarakat Cina untuk bersama-sama mengurus dan mentadbir Johor.

Di samping itu baginda menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti polis, kastam, mahkamah, perbendaharaan, kesihatan, agama, pelajaran, jabatan ukur dan kemajuan tanah dan lain-lain.

Sistem pengurusan ini berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga Gabenor Inggeris melaporkan kepada Colonial Office tidak ada keperluan dan tidak munasabah Inggeris campur tangan dalam pentadbiran Johor.

Pada asalnya Ahli Jemaah Menteri memegang jawatan-jawatan yang mempunyai ascribed title atau gelaran seperti Dato' Menteri bagi Menteri Besar, Dato' Bentara Dalam bagi Menteri Hal Ehwal Dalam dan Pelajaran, Dato' Bentara Luar bagi Menteri Pembangunan dan Tanah, Dato' Sri Amar DiRaja bagi Menteri Hal Ehwal Luar dan Setiausaha Kerajaan, Dato' Setia bagi Pesuruhjaya Polis, Dato' Penggawa Barat bagi Pentadbir Wilayah Barat, dan Dato' Penggawa Timor bagi Pentadbir Wilayah Timor.

Gelaran Dato' adalah dipadankan daripada gelaran hulubalang Empayar Johor dalam kurun ke-15 lagi. Abu Bakar meneruskan gelaran ini melalui peraturan perundangan dan fisikal.

Baginda berhasrat menghargai pengikut dan pegawai baginda yang taat setia bersama-sama membangunkan Johor dari hutan belantara ke sebuah negeri yang maju dan bertamadun.

Baginda mencipta Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati (DK) dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia (SPMJ dan DPMJ). Darjah-darjah kebesaran ini dizahirkan serentak pada 31 Julai 1886 dan merupakan Darjah pertama di antara Negeri-negeri Tanah Melayu.

Di antara penerima-penerima DK ialah adik-beradik Abu Bakar. Antara penerima utama gelaran Dato' adalah Menteri Besar Dato' Jaafar bin Mohammad, Dato' Bentara Dalam Mohammad Ibrahim Abdullah Munshi, Dato' Bentara Luar Mohammad Salleh Bin Perang, dan Pesuruhjaya Polis Dato' Setia Abdullah Tahir.

Penerima SPMJ pertama bergelar Dato' bagi ketua masyarakat Cina ialah Tan Hiok Nee seorang ahli Dewan Negeri dan ketua persatuan Ngee Heng Kongsi.

Kriteria pemilihan Dato' yang digunakan oleh Abu Bakar iaitu taat setia, perkhidmatan cemerlang, kepimpinan dan keikhlasan terus diamal dan dipraktikan oleh Sultan-Sultan Johor selepas baginda. Abu Bakar memaktubkannya ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 bagi mempertinggikan martabat Darjah itu, dan memberi kuasa mutlak kepada Raja terhadap pengurniaannya.

Almarhum Sultan Ibrahim dalam tahun 1925 mencipta Undang-Undang dan Peraturan bagi Darjah memperkuatkan kuasa Raja dalam hal-hal Darjah. Pada masa sekarang jika terdapat kesangsian nama calon dirujuk kepada pihak berkuasa seperti polis, mahkamah dan agensi pencegah rasuah untuk siasatan dan pengesahan.

Mulai 1886 juga seorang Dato' diberi gelaran "Yang Berhormat" membawa makna ia hendaklah mempunyai dan mengamalkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, perwatakan berhemah tinggi, jujur dan ikhlas, menghormatkan orang lain, bermoral, bertingkah laku yang sopan santun, dan kepimpinan yang boleh dijadikan teladan.

Mulai tahun 1990, calon beragama Islam dikehendaki menyempurnakan Solat Sunat dan melafaz Sumpah Syarie bertaubat dan mohon ampun dan perlindungan Allah SWT dan sentiasa taat kepada perintah-Nya, serta taat kepada Raja dan kerajaan.

Imam Darjah membacakan doa sebelum dan selepas kurniaan mohon kepada Allah semoga dikurnia perlindungan dan petunjuk-Nya kepada Dato' itu. Perkataan "Kepada Allah Berserah" diukir ke atas Bintang Darjah. Semuanya ini menunjukkan seorang Dato' itu tidak terlepas daripada tanggungjawab yang berat dan sentiasa memohon taufik dan hidayat Allah Maha Kuasa.

Bagi Dato' yang bukan beragama Islam harapan dan aspirasi rakyat serta tanggungjawab terhadap mereka adalah sama beratnya walaupun mereka tidak mengangkat sumpah.

Dato' Johor yang terdiri daripada orang Melayu secara otomatis menjadi ahli bagi Jemaah Pangkuan Negeri yang berkuasa dalam hal memilih, mengesah dan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor sebagai Sultan selepas kemangkatan Almarhum. Di sini juga keikhlasan dan taat setia serta pendirian mereka diuji.

Ada orang mengatakan gelaran Dato' Johor adalah berat, dan mungkin ada orang yang tidak dapat memikulnya dengan sempurna. Setelah diperkenankan, istana akan mengeluarkan surat bertanya jika calon itu bersetuju menerimanya.

Jika seseorang calon berasa belum sampai masanya dan tidak sanggup memikul bebanan tanggungjawab yang berat, dia boleh menolaknya. Ini tidak dianggap sebagai biadab atau menderhaka asalkan tujuannya murni.

Syarat-syarat kurniaan amat ketat bagi memartabatkan kemuliaan Darjah itu. Dari tahun 1886 hingga sekarang 712 orang telah diberi kurniaan Dato'. Pada hari ini terdapat lebih kurang 100 Dato' Johor yang masih hidup. Justeru sindiran sinis jika dibaling batu tentunya sebiji akan jatuh ke atas seorang Dato' Johor tidaklah boleh diterima.

Dalam zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, baginda mengurniakan gelaran "Datin" kepada isteri seorang Dato'. Pada masa sekarang isteri Dato' tidak bergelar Datin tetapi digelar "Datin Dato'….(nama suami).

Gelaran ini hanya kepada isteri pertama jika Dato' itu mempunyai lebih daripada seorang isteri. Gelaran itu boleh digunakan jika Dato' itu meninggal dunia dan selagi balu tidak bernikah lagi. Isteri yang diceraikan oleh Dato' tidak boleh menggunakan gelaran itu. Ini merupakan satu keunikan di Johor.

Penulis,
Yang Berhormat Dato' Abdul Rahim bin Ramli,
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Negeri Johor

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)

ISTIADAT SAMBUTAN ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN JOHOR

Sultan Abu Bakar menyambut 'Hari Kerajaan' iaitu ulangtahun hari baginda diperajakan pada 1 Syaban 1278 (1hb Mac 1862). Anakanda baginda, Sultan Ibrahim meneruskan tradisi sambutan Hari Kerajaan mengikut tarikh baginda menaiki takhta pada 17 Rabiul Awal 1313 (7hb September 1895).

Pada tahun 1897 Sultan Ibrahim menukar tarikh sambutan Hari Kerajaan kepada ulangtahun hari keputeraan baginda 17hb September 1873 selaras dengan kehendak Islam ketika menyambut Hari Maulud bagi Nabi Muhammad SAW, dan seperti diraikan oleh raja-raja Eropah.

Pada tahun 2015 DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menukar sambutan ulangtahun hari keputeraan baginda dari 22hb November kepada 23hb Mac diatas keprihatinan baginda mengelakkan kesulitan rakyat semasa musim banjir yang sering belaku dalam bulan November. Justeru itu, tarikh 23hb Mac dipilih bersempena tarikh Istiadat Kemahkotaan baginda bermula tahun 2015.

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN 
(Istiadat Letak Kerja, Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim, Majlis Darjah dan Pingat, Majlis Jamuan Teh)

Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku mengandungi adunan tradisi Melayu dan budaya istana, unsur-unsur ajaran Islam dan perlakuan barat.

ISTIADAT LETAK KERJA


Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja yang dilakukan 3 hari sebelumnya sebagai simbolik bermulanya sambutan berkenaan.

Istiadat itu disempurnakan dengan upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera Istiadat Kerajaan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti bacaan doa oleh Mufti.

Dato' Penghulu Istiadat akan membacakan pengisytiharan bendera Adat Istiadat akan dikibarkan sepanjang Sambutan Hari Keputeraan.

Istiadat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor diiringi pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN). Tujuh das tembakan meriam kedengaran sejurus bendera dinaikkan.

MAJLIS TAHLIL DAN DOA KESYUKURAN


Pada malam sebelum Sambutan Hari Keputeraan Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah SWT melanjutkan usia Tuanku dalam keadaan aman dan sejahtera bagi menaungi dan memimpin rakyat.

MAJLIS DOA KESYUKURAN
Pada hari esoknya diadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Dewan Cina Istana Besar, dihadiri dif lelaki sahaja. Pakaian yang ditetapkan adalah uniform istiadat dengan tanda-tanda kebesaran.

DYAM Tunku Mahkota berangkat ke Majlis tersebut. Tembakan meriam 21 das bermula sebaik sahaja Mufti menyebut nama DYMM Tuanku didalam doa. Setelah tamat doa Perangkatan Tunku Mahkota, kerabat dan dif berjalan menuju ke Bilik Singgahsana Istana Besar didahului Pasukan Penjawat Istana yang membawa semua Peralatan Istiadat Kerajaan.

Peralatan Istiadat Kerajaan yang diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar mengandungi Cogan Agama, Cogan Alam, Panji-Panji Raja, Bendera Negeri Johor, Keris Darjah Kerabat, Keris Darjah Mahkota, 2 payung besar, 2 payung kecil, 16 batang lembing dan 8 batang tongkat. Peralatan ini simbolik memperkasakan kedaulatan dan kuasa Raja.

Lagu Bangsa Johor dimainkan bagi menyambut keberangkatan tiba DYMM Tuanku dan DYMM Permaisuri Johor di Tangga Agong Istana Besar. Kemudiannya, DYMM Tuanku berkenan memeriksa barisan kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) sebelum berangkat naik ke Bilik Persemayaman.

MAJLIS TERIMAN
Dato’ Penghulu Istiadat menyeru membuka Majlis Teriman. DYMM Tuanku dan DYMM Permaisuri berangkat masuk ke Bilik Singgahsana dan bersemayam diatas takhta. Lagu Bangsa dimainkan.

DYAM Tunku Mahkota akan mempersembah ucap selamat dan Ikrar Taat Setia bagi pihak kerabat, serta berdoa agar usia DYMM Tuanku Sultan dan DYMM Permaisuri Johor berpanjangan, bertambah kedaulatan dan kekal memerintah negeri Johor. Tunku Mahkota juga berterima kasih di atas keperihatinan dan perkenan baginda membolehkan DYAM Tunku Mahkota mempelajari hal-hal pentadbiran negeri dan bercampur gaul dengan rakyat jelata.

YAB Menteri Besar diapit oleh seorang wakil kaum Cina dan seorang wakil kaum India mengadap dan menyembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat.

DYMM Tuanku bertitah menyeru rakyat hidup dalam rukun damai, sentiasa bermuafakat serta mengukuhkan perpaduan.

MAJLIS MENGADAP TAKZIM
DYAM Tunku Mahkota dan YM Che Puan Khaleeda mengadap takzim, diikuti YAM Tunku Temenggong, YAM Tunku Bendahara, YAM Paduka Putera-putera dan Puteri, Yang DiPertua Jumaah, dan Menteri Besar. Perlakuan mengadap takzim adalah berdiri tegak dihadapan Tuanku, kedua dua tangan rapat dibadan, dan tundukan kepala sambil merencungkan badan sedikit kehadapan.

MAJLIS DARJAH DAN PINGAT
Menteri Darjah berseru membuka Majlis Darjah dan Pingat, dimulakan dengan Darjah Kerabat Yang Amat Di Hormati, Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia, dan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Di Sanjungi, diikuti dengan Pingat. Imam Darjah membaca doa sebelum dan selepas kurniaan.

Majlis diakhiri dengan baca doa penutup Istiadat oleh Kadi Besar.


MAJLIS JAMUAN TEH

Majlis Jamuan Teh untuk rakyat yang diadakan pada hari esoknya memberi peluang kepada DYMM Tuanku untuk bercampur gaul dengan rakyat dalam semangat Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Kerajaan prihatin memastikan rakyat jelata turut mengambil bahagian bersama dalam perayaan ini. Oleh itu kerajaan mengatur beberapa temasya termasuk sukan, pertunjukan kebudayaan, dan pertandingan yang melibatkan penyertaan rakyat di setiap daerah di negeri Johor.

Penulis,
Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli
Yang DiPertua
Jumaah Majlis DiRaja Johor

15 November 2016

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)


SULTAN IBRAHIM DIANUGERAHKAN BINTANG KEBESARAN ITALI

Pada 11 November 1938, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim dianugerahkan bintang kebesaran Itali (Order of the Crown of Italy - Commander) diatas hubungan baik Kerajaan Johor dan Kerajaan Itali semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Majlis penganugerahan bintang kebesaran telah diadakan di atas kapal perang Itali di pelabuhan Singapura. Turut menerima darjah kebesaran di majlis tersebut adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Temenggong dan Menteri Besar, Yang Mulia Engku Abdul Aziz.

Sebagai membalas, Sultan Ibrahim telah berkenan mengurniakan darjah S.P.M.J kepada Konsulat Itali di Singapura yang juga kenalan rapat baginda.

Ini adalah kali kedua Kerajaan Itali menganugerahkan bintang kebesaran kepada Sultan Johor dimana ayahanda Sultan Ibrahim iaitu, Almarhum Sultan Abu Bakar telah dianugerahkan bintang kebesaran yang sama pada tahun 1891.

Umberto I of Italy (1878 – 1900)
Hubungan diplomasi diantara Johor dan Itali bermula semenjak tahun 1885, apabila Almarhum Sultan Abu Bakar dalam rangka lawatan ke Eropah telah menerima undangan Raja Umberto I ke negara Itali. Pada kunjungan tersebut, baginda juga turut bertemu Pope Leo XIII di Rome. Dalam usaha untuk memelihara kedaulatan Johor, baginda mementingkan hubungan diplomasi untuk membina prestij melalui lawatan ke luar negara

Dalam abad ke-19, Itali telah mempunyai hubungan diplomasi dengan beberapa negara di Asia Tenggara dengan menghantar kapal laut dan tentera ke pelbagai negara untuk tujuan perdagangan dan misi saintifik. Beberapa komander mereka telah membuat kunjungan hormat keatas Sultan Johor dan salah seorang daripada mereka adalah Duke of Genoa, sepupu kepada Raja Umberto I.

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)


8-11-2014 - PERSANDINGAN TUNKU ISMAIL DAN CHE' PUAN KHALEEDA


JOHOR BAHRU: Istiadat Persandingan Diraja antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pasangannya, Che' Puan Khaleeda Bustamam, berlangsung dalam suasana gilang gemilang di Istana Besar di sini malam ini.

Pasangan diraja kelihatan berangkat meninggalkan Istana Bukit Serene jam 8.20 malam menuju ke Istana Besar.


Mereka menaiki kereta vintaj Mercedes Limousine Covertible, sambil diiringi lebih 10 pengiring bermotosikal dari Polis Diraja Malaysia dan juga anggota Timbalan Setia Negeri termasuk komando berpakaian medan.

Pasangan pengantin diraja berangkat tiba di istana tepat pada pukul 8.52 malam, disambut dengan pukulan 1,500 kompang dan bunga manggar.

Istiadat persandingan disaksikan oleh sekalian anggota kerabat diraja, dif-dif kenamaan dan ditonton oleh lebih 1,000 rakyat jelata menerusi dua unit skrin gergasi di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Majlis persandingan bermula pada pukul 9.20 malam dengan keberangkatan masuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Ini diikuti dengan keberangkatan masuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; dan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom.

Foto facebook Johor Southern Tigers

Seterusnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching dilihat melangkah masuk ke dalam dewan diikuti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Pasangan diraja kemudian berangkat masuk ke dewan dengan Tunku Ismail memakai baju istiadat berwarna biru gelap sementara Che' Puan Khaleeda memakai busana berwarna putih.

Sebelum memulakan istiadat merenjis dan tepung tawar, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin membaca doa.

Foto facebook Johor Southern Tigers
Istiadat merenjis dan tepung tawar dimulakan oleh Sultan Brunei, diikuti isterinya, Sultan Pahang dan Sultanah, Sultan Johor dan Raja Zarith Sofiah dan Nenda Sultan Ismail, Enche Besar Hajjah Khalsom.

Istiadat itu kemudian diakhiri dengan ibu Che' Puan Khaleeda, Aziyah Abdul Aziz.

Majlis dan siaran langsung diakhiri dengan keberangkatan keluar pasangan pengantin dan tetamu majlis dari dewan Istana Besar bagi memulakan acara santapan diraja.

Antara yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Foto facebook Johor Southern Tigers
Juga hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah.
Sementara itu, hujan lebat di bandaraya ini tidak menghalang lebih 1,000 rakyat menyaksikan siaran langsung Istiadat Persandingan Diraja melalui dua unit skrin gergasi disediakan Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Orang ramai mula membanjiri dataran bandaraya seawal lima petang. Ramai juga kelihatan berkumpul di sepanjang jalan kira-kira tiga kilometer antara Istana Bukit Serene dan Istana Besar, bagi menyaksikan kelibat pasangan diraja itu.

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)