Social Icons

Sultan Sir Ibrahim Menolak Gelaran Yang di-Pertuan Agong



Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor), yang dilantik menjadi Sultan pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 83 tahun).

Yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang), yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik.


Raja-raja Melayu mengikut tempoh memerintah:

1. Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor; 1895-1960)

2.Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang; 1932-1974)

3.Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; 1933-1960)

4.Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor; 1938-1942, 1945-1960)

5.Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah; 1943-1958)

6.Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Al-Sultan Kelantan; 1944-1960)

7.Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Raja Perlis; 1945-2000)

8.Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu; 1945-1979)

9.Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Sultan Perak; 1948-1963)





WANITA INGGERIS PERTAMA MENJADI SULTANAH


Nama asalnya Helen Bartholomew, dilahirkan pada 21 Disember 1889. Beliau telah memeluk agama Islam setelah berkahwin dengan Sultan Ibrahim di England pada 15 Oktober 1930 dan menukar namanya kepada Helen binti Abdullah.


Pada 18hb November 1931, beliau secara rasminya telah ditabalkan sebagai Sultanah Helen. Sultanah Helen merupakan wanita barat pertama ditabalkan menjadi Sultanah.

Sultanah Helen Ibrahim (nama asal, Helen Bartholomew) adalah isteri ketiga Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, sultan kedua bagi Johor moden. Baginda merupakan salah seorang yang terkaya di dunia ketika itu. 

Helen Bartholomew dilahirkan di Glasgow, Scotland. Suami pertama beliau, William Wilson (dilahirkan di Malaya) merupakan doktor peribadi kepada Sultan Ibrahim. Setelah William meninggal dunia, Helen pulang semula ke Britain.

Sultan Ibrahim sangat pemurah. Baginda pernah menghadiahkan sepasang Malay tigers kepada Edinburgh Zoo dan memberikan hadiah berupa wang tunai yang banyak ketika King George V menyambut perayaan Jubli. 

Apabila Sultan Ibrahim menghantar dua orang anakanda baginda untuk belajar di Britain, baginda meminta jasabaik Helen untuk sama-sama 'mengawasi' mereka. Baginda sering juga melawat mereka dan perhubungan baginda dengan Helen semakin mesra. 

Mereka berkahwin di Masjid Surrey pada 15 Oktober 1930. Semenjak itu, Helan memakai gelaran Her Highness Sultanah Helen Ibrahim. 

Sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan mereka yang kelima, wajah Sultan Ibrahim dan Sultanah Helen diabadikan di atas stem kenang-kenangan.

Perkahwinan itu berakhir dalam keadaan baik setelah berlangsung selama 10 tahun. Malah sultan ada menghadiahkan permata zamrud pada hari lahirnya dan berlian pada ulangtahun perkahwinan mereka. Dikatakan bahawa koleksi barang kemas Sultanah Helen adalah yang terbaik di dunia.

Helen kembali ke Scotland dan tinggal di Cambuslang sebelum berpindah ke London. Sekitar 1960an, dia dilihat turun dari sebuah Rolls Royce di Sauchiehall Street. Selepas itu tiada sesiapa tahu apa yang telah berlaku kepadanya. 

Namun pada tahun 1980an, sebuah akhbar di Glasgow cuba menyelongkar kembali kisah hidupnya. Walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui kecuali penemuan beberapa buah foto sewaktu dia masih bekerja di Glasgow dan ketika dia menjadi Sultanah Johor.

Penyelidikan selanjutnya mendapati bahawa dia meninggal dunia pada 13 Ogos 1977 ketika berusia 88 tahun di sebuah rumah jagaan (nursing home) di Surrey.


Dato' Bentara Luar Johor

"........jangan ada terlintas di hati niat yang tidak baik di atas Raja 
sendiri atau meninggalkan negeri dan jajahan Johor ini, hidup tidak akan
selamat kelak. Turun temurun datuk, nenek, moyang kita semuanya sudah 
bersumpah taat setia kepada datuk, nenek, turun temurun Sultan Johor. 
Dengan berniat 'Taat Setia' semenjak Panglima Daeng Lajat bin Abdul 
Rahim kepada Almarhum DYMM Sultan Abdul Jalil sehingga kepadanya sendiri
bersumpah taat setia kepada Almarhum Sultan Abu Bakar Ibni Temenggung 
Tun Ibrahim dan seterusnya kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu 
Bakar. Jangan takut membuat baik serta betul kepada Raja, Insya-Allah 
selamat sempurna hidup. Hak tertentu akan mati tetapi nama baik atau 
jahat akan kekal buat selamanya." - Dato' Bentara Luar Johor

Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat


JOHOR BAHRU 23 Jan. - Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot menyifatkan Almarhum Sultan Iskandar merupakan seorang insan yang cukup istimewa kerana baginda merupakan satu-satunya Sultan atau Raja di negara ini yang pernah menyampaikan khutbah di masjid-masjid.

''Semasa sihat baginda akan mengutuskan untuk menunaikan sembahyang Jumaat di masjid utama di daerah-daerah dan atas kesediaan, baginda menzahirkan hasrat untuk menyampaikan khutbah di masjid terbabit.

''Ini menjadi satu kebanggaan bagi rakyat khasnya masyarakat Islam di negeri ini,'' katanya.

Beliau yang pernah menjadi Timbalan Mufti dan Mufti Johor selama 10 tahun berkata, itulah keunikan dan kelebihan yang ada pada baginda.

Nooh berkata, pada dasarnya baginda seorang Sultan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya terutamanya mengenai agama Islam.

Menurutnya, semasa menjadi mufti beliau dikurniakan darjah kebesaran antaranya Pingat Ibrahim Sultan (PIS), Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ), Setia Paduka Mahkota Johor (SPMJ) dan Pingat Lama Dalam Perkhidmatan (PLP).

''Sebagai tanda kasih dan sayang saya terhadap baginda, malam tadi saya bersama Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin serta beberapa imam dan pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak tidur hinggalah ke saat pemakaman baginda.

''Kami bersama kerabat diraja Johor hinggalah saat baginda menghembuskan nafas terakhir telah menguruskan upacara pemakaman baginda dengan harapan berjalan lancar. Ini merupakan sumbangan terakhir saya untuk Almarhum yang amat dikasihi,'' katanya.



Nooh berkata, Istana Besar akan mengadakan bacaan tahlil selama tiga hari berturut mulai malam ini, manakala masjid-masjid di daerah-daerah akan mengadakan perkara sama untuk tempoh berkenaan.

''Sama-samalah kita berdoa agar roh baginda ditempatkan bersama roh-roh orang yang soleh dan mendapat keampunan, rahmat daripada Allah SWT," katanya.



Genap Setahun Almarhum Sultan Iskandar Meninggalkan Kita


Al-Fatihah
Semuga Allah Menempatkan Roh Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail Bersama-Sama Orang Yang Beramal Solleh.
AMIN
2.01.2011, Sabtu - Hari ini genaplah sudah setahun Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan Johor Era Sejarah Moden Ke-4 meninggalkan kita semua. Pada tarikh 22 Jan 2010 bersamaan hari Jumaat, jam 19:15hrs Baginda mangkat di Hospital Pakar Puteri, Johor Baharu, Johor dalam usia 77 tahun setelah bertahta hampir tiga dekad memerintah Negeri Johor dan Jajahan Takluknya. Baginda meninggalkan seorang suri, Sultanah Zanariah serta 10 orang putera/puteri termasuk anak-anak hasil perkahwinan pertama baginda dengan YAM Enche' Besar Hajah Khalsom. Diputerakan oleh bondanya Almarhumah Sultanah Aminah di Istana Semayam, Johor Baharu pada tanggal 08.04.1932. Almarhum dimasyhurkan Sebagai Sultan Johor pada 11.03.1981 berikutan kemangkatan Paduka Ayahanda baginda. Pada 15.11.1984 baginda dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-8 untuk tempoh lima tahun.

Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar


Gambar diambil dari Berita Harian


12.01.2011, Rabu - Semalam 11.01.2011 merupakan Cuti Umum di Johor sempena Sambutan Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar. Hari Hol merupakan hari memperingati kemangkatan Sultan Johor terkemudian. Pada hari ini baginda Sultan dan kaum kerabat diraja Johor akan melawat Makam Diraja Mahmoodiah dan mengadakan bacaan tahlil. Jika dahulu iannya dikenali sebagai Hari Hol Almarhum Sultan Ismail yang disambut pada 19 Jun setiap tahun tetapi selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar pada 22.01.2010 iannya ditukar kepada Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar dan tarikhnya telah dipinda kepada 11 Jan setiap tahun atau mengikut kalendar Islam pada bulan Safar. DYMM Sultan Johor dan kerabat Diraja melawat makam diraja pada sebelah pagi. Seperti amalan biasa apabila melawat makam, Tuanku menabur bunga dan menjirus air mawar di Makam Almarhum Sultan Iskandar, Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Sultanah Aminah sebelum bacaan doa disempurnakan oleh Mufti Johor, Dato' Mohd. Tahrir Shamsuddin. Selepas bacaan doa Tuanku dan rombongan berangkat ke Masjid Abu Bakar untuk Majlis Bacaan Tahlil. Majlis berakhir sekitar jam 11:00hrs.
Turut serta dalam majlis ini adalah, Tunku Mahkota Johor, YAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, EXCO Kerajaan Negeri Johor, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin Onn, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan, Pengerusi Jabatan Agama Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, Pengarah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Elias Hasran dan Penasihat MAIJ, Datuk Nooh Gadut.
ALFATIHAH ............ kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Semuga Allah Menempatkan Roh Baginda Bersama-sama Orang-Orang Yang Beramal Solleh. AMIN.

Dua Puteri Tengku Long Ahmad Yang Menjadi Sultanah Johor


Tengku Long Ahmad Panglima Raja

Tengku Ahmad diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 01 September 1908 oleh bondanya Tengku Kembang dan mangkat pada 01.08.1989 dan dimakamkan di Makam DiRaja Langgar, Kota Baharu, Kelantan . Ayahandanya merupakan Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Long Abdul Ghafar ibni Al-Marhum Sultan Muhammad II. Tengku Ahmad berkahwin dengan empat orang isteri iaitu Tengku Zainab bt Al Marhum Sultan Muhamad IV, Tengku Mariam bt Tengku Mek Ismail, Cik Puan Hajjah Fatimah bt Datuk Abdul Hamid dan Tengku Kamariah bt Tengku Abdul Kadir Kamaruddin. Hasil dari perkahwinan ini beliau dianugerahkan tiga putera dan tujuh puteri. Tengku Ahmad juga adalah merupakan individu yang memahkotakan Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra semasa istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Kelantan. Yang unik nya berkenaan Tengku Ahmad adalah dua orang puterinya dari bonda (ibu) yang sama iaitu Cik Puan Hajah Fatimah bt Datuk Abdul Hamid telah menjadi Sultanah Johor. Tengku Ahmad sempat melihat kejayaan kedua-dua puterinya menaiki tahkta kerajaan Negeri Johor semasa hayatnya termasuklah kejayaan puteri bongsunya sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Malaysia.


Sultanah Nora Ismail
Sultanah Johor (1978 - 1981)
Puteri keenam Tengku Ahmad, Tengku Nora diputerikan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan pada 10.10.1937. Berkahwin pada 13.11.1977 dengan Sultan Sir Ismail al-Khalidi ibni al-Marhum Sultan Sir Ibrahim selepas kemangkatan Sultanah Aminah pada 14.09.1977. Baginda merupakan isteri ketiga Sultan Johor. Pada 28.10.1978 ditabalkan sebagai Sultanah Johor dengan gelaran Sultanah Nora. Selepas kemangkatan Tuanku, baginda lebih terkenal dengan panggilan Sultanah Nora Ismail. Baginda tidak dikurniakan sebarang cahaya mata dan sekarang menetap di Johor Baharu, Johor.



Sultanah Hajah Zanariah
Sultanah Johor (1981 - 2010)
Puteri ketujuh @ puteri bongsu Tengku Ahmad, Tengku Zanariah diputerikan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan pada 05.07.1940. Berkahwin dengan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Al-Marhum Sultan Ismail sebagai Isteri kedua Tuanku Sultan (pada masa itu Tengku Mahkota Johor) pada 20.08.1961. Pada tahun 1962 Tuanku Iskandar telah berpisah dengan isteri pertamanya Hajah Kalthom Abdullah @ Josephine Ruby Trevorrow. Keadaan ini telah dapat memberi laluan mudah kepada Tengku Zanariah untuk menjadi Sultanah Johor. Tengku Zanariah ditabalkan sebagai Sultanah Johor pada 11.05.1981 apabila suami baginda menggantikan ayahanda mertuanya (yang juga abang ipar baginda) sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultanah Hajah Zanariah. Lebih membanggakan lagi apabila baginda telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Malaysia kelapan selepas Tuanku Iskandar menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelapan dalam tempoh lima tahun bermula 26.04.1984 hingga 25 .04.1989. Hasil daripada perkahwinan ini baginda dikurniakan seorang putera dan lima puteri. Selepas kemangkatan suaminya pada 22.01.2010, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Sultan Johor yang baru. Walau bagaimanapun Tuanku Ibrahim bukanlah anakanda kandung baginda. Sekarang baginda menetap di Johor Baharu, Johor.