ANAKANDA sulung Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor, di Dewan Singgahsana, Istana Besar, Johor Bahru, pada 28 Januari lalu.
Tunku Ismail mengangkat ikrar setia dan berjanji akan sentiasa melaksanakan segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat.
Baginda menggantikan ayahandanya, Sultan Ibrahim, yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lalu berikutan kemangkatan nendanya, Almarhum Sultan Iskandar, sehari sebelumnya.
Istiadat pemasyhuran pewaris takhta Johor itu diumumkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.
Baginda bertitah, “Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab, mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, memilih dan melantik seorang waris takhta bergelar Tunku Mahkota Johor.
“Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1 fasal 7, bahagian pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor, mengikut nasihat Jemaah Diraja, dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor,” titah baginda.
Istiadat pemasyhuran itu disaksikan oleh bonda Tunku Ismail, Raja Zarith Sofiah, dan kerabat diraja. Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot; barisan Exco, Ahli Dewan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.
Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan dilantik sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006. Tunku Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama, Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru, sebelum meneruskan persekolahan peringkat Menengah di Sekolah Antarabangsa Australian, Singapura, dan kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Hale, Perth, Australia antara 1999 dan 2002.
Baginda berkongsi minat nenda dan ayahandanya dalam bidang ketenteraan dan mendapatkan latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, sebagai Pegawai Kadet di sana pada 2003.
Baginda dikurniakan pangkat Leftenan dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India, berkhidmat sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India selepas menamatkan pengajian di IMA.
Tunku Ismail mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi warga asing pertama mengetuai pasukan tentera India pada Hari Kebangsaan Republik itu pada 26 Januari 2007, setelah dipilih oleh Presiden India untuk mengetuai unit regimen yang terdiri daripada 400 anggota itu.