ALMARHUM Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah memelihara kesultanan Johor sebagai institusi tertinggi melindungi maruah negeri dan menjaga kepentingan bangsa serta keharmonian rakyat jelata. Ia terbit daripada keikhlasan baginda menaungi rakyat dan negeri sepanjang bersemayam di atas takhta kerajaan. Johor sehinggalah mangkat pada 22 Januari lalu dengan meninggalkan kesan amat mendalam kepada pentadbiran negeri dan rakyat seluruhnya.
Ketika hayatnya, riak wajah baginda seakan boleh mendatangkan rasa gerun di hati, tetapi sebenarnya ia lebih mencerminkan ketegasannya untuk tidak bertolak ansur dalam menjaga kedaulatan negeri, maruah bangsa dan kesejahteraan rakyatnya. Baginda amat mempercayai barisan kepemimpinan negeri dalam mentadbir negeri Johor dan sering mengingatkan rakyat jelata supaya memberi kerjasama, bersatu serta bermuafakat dalam apa jua perkara.
“Muafakat itu berkat,” tegas baginda dalam mana-mana titahnya.
“Kita mesti mengelakkan memainkan unsur perkauman dan agama, berpegang teguh kepada Rukun Negara serta Raja Berperlembagaan. Ahli Dewan Negeri pula hendaklah menjalankan tugas dengan ikhlas, jujur dan memahami hasrat rakyat,” titahnya dua tahun lalu.
Sesungguhnya baginda jarang bertitah, namun setiap titahnya yang ringkas itu cukup bermakna dan kena pada tempatnya. Sebab itu, titahnya bukan sahaja sentiasa dinantikan rakyat Johor, malah menarik perhatian seluruh negara.
“Umno bukan lahir di tepi jalan, Umno lahir di Istana,” begitulah titahnya ketika berangkat menghadiri majlis ulang tahun Umno ke-60 di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 2006, yang diadakan di situ atas keizinannya.
Almarhum mengulangi beberapa kali supaya Tambak Johor dirobohkan agar memudahkan air di Selat Tebrau mengalir dengan lancar, selain tidak bersetuju dengan cadangan pembinaan jambatan ketiga menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Baginda bertitah demikian melalui anakandanya Sultan Ibrahim yang pada ketika itu Tunku Mahkota Johor pada majlis Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor ke-12, tahun lalu.
“Saya dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa baginda tidak setuju dengan cadangan untuk membina jambatan ketiga,” titah Tunku (kini Sultan) Ibrahim almarhum Sultan Iskandar.
Setahun sebelumnya, di Dewan Negeri juga, almarhum berikrar untuk mendapatkan semula hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura selepas Malaysia gagal mempertahankannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, Belanda, pada 23 Mei 2008.
“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada pulau Batu Putih. Pulau Batu Putih bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor, sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu, “ titahnya.
Begitulah kebiasaannya Sultan Iskandar memilih platform yang tepat dan masa yang sesuai untuk menitahkan sesuatu yang amat penting, bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran tetapi lebih kepada menjaga kedaulatan bangsa dan negeri.
Kalau baginda menegur pun dalam jenaka, berseloroh dengan penuh bermakna, manakala bertegas bukan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, almarhum tidak mahu rakyat mengangkat sembah kerana menyifatkan dirinya juga manusia biasa.
Tetapi baginda tidak boleh berkompromi dalam soal disiplin. Baginda mencabar empat Ahli Dewan Negeri dari parti DAP yang tidak memakai songkok pada majlis pembukaan sidang Dewan Negeri (DN) dua tahun lalu untuk menghadapnya, kerana baginda menganggap perbuatan itu tidak menghormati peraturan dan tidak beradab.
Baginda juga seorang Sultan yang prihatin apabila mengurniakan tanah di Taman Iskandar untuk tujuan pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menampung kediaman untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Malah, tanpa diketahui oleh mana-mana pihakpun, almarhum menyumbang RM2 juta kepada tabung bencana untuk kegunaan rakyat ketika banjir besar melanda Johor pada hujung 2006 dan awal 2007.
Namun semua itu, sama ada pemberian tanah untuk pembinaan rumah atau sumbangan lainnya, tidak pernah diumumkan untuk tujuan publisiti. Karektor seperti ini bukan sahaja mencerminkan keikhlasannya, malah menjadikan almarhum dihormati.
Almarhum ketika merasmikan Pusat Pentadbiran
Kerajaan Negeri, Kota Iskandar
Kerajaan Negeri, Kota Iskandar
Dalam bidang keagamaan, almarhum sendiri pernah menyampaikan khutbah jumaat di masjid sekitar negeri ini, selain memastikan hubungan erat dengan Majlis Agama Negeri serta pentadbiran jabatan berkenaan bagi mengikuti perkembangan dan permasalahan agama di Johor.
Dari segi minatnya pula, almarhum amat meminati bidang ketenteraan seperti yang dapat dilihat menerusi perwatakan berdisiplin dan sering berpakaian rasmi tentera ketika berangkat menghadiri majlis-masjlid di negeri ini.
Almarhum mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) yang diasaskan oleh moyang baginda, almarhum Sultan Abu Bakar pada 1885. Baginda juga merupakan Panglima JMF. Selain itu, almarhum pernah menyertai batalion kedua Askar Wataniah di Johor Bahru pada tahun 1960, pernah berkhidmat dengan Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pegawai dan pernah dilantik menjadi Kolonel Yang Dipertua Rejimen Gerak Khas.
Dari segi sukan pula, aktiviti yang digemari oleh almarhum ialah permainan polo, luncur layar dan golf. Almarhum yang memerintah negeri ini selama 30 tahun meninggalkan Sultanah Zanariah dan sepuluh orang anakanda, dua putera dan lapan puteri, iaitu Tuanku Ibrahim Ismail, Tunku Abdul Majid Idris, Tunku Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah, Tunku Azizah, Tunku Mariam, Tunku Noraini, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Muna Najiah dan Tunku Masera.
Sultan Iskandar pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undangundang daripada National University of Singapore (NUS) pada 12 April 2007 berdasarkan pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranan baginda kepada hubungan dua hala serta kemajuan dan kemakmuran negeri itu.
Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932 adalah putera sulung kepada almarhum Sultan Ismail ibni almarhum Sultan Ibrahim. Almarhum dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor pada 8 Mei 1959 dan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 26 April 1984 hingga 25 April 1989.
Almarhum Sultan Iskandar menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran di English College yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Almarhum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Trinity Grammar School, Australia, pada usia 16 tahun, sebelum ke Devon Technical College, United Kingdom, lima tahun kemudian.
ARTIKEL YANG BERKAITAN:
- 22-01-2010 - Sultan Iskandar Mangkat
- Teks Pengumuman Kemangkatan oleh Menteri Besar Johor
- Majlis Pemasyuran yang diwarnai dengan kesedihan
- Patah Tumbuh, Hilang Berganti
- Kenangan bersama keluarga diraja Johor
- 'Apa sembah-sembah, aku pun manusia' jadi kenangan abadi
- Sebagai Raja, Sultan, Kawan dan Manusia biasa
- Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat
- Prihatin terhadap kebajikan Orang Asli
- Keakraban Almarhum Sultan Johor Jadi Kenangan Indah Sepanjang Hayat Aktivis Sosial Sarawak
- Sultan Iskandar tepikan protokol
- Daulat yang diabadikan
- Sultan Iskandar dermakan kesemua elaun kepada yayasan
- Sultan Iskandar: Raja Yang Tegas, Adil Dan Mahukan Yang Terbaik
- Peserta Festival Layang-Layang ziarah makam Sultan Iskandar
ARTIKEL YANG BERKAITAN:
- 22-01-2010 - Sultan Iskandar Mangkat
- Teks Pengumuman Kemangkatan oleh Menteri Besar Johor
- Majlis Pemasyuran yang diwarnai dengan kesedihan
- Patah Tumbuh, Hilang Berganti
- Kenangan bersama keluarga diraja Johor
- 'Apa sembah-sembah, aku pun manusia' jadi kenangan abadi
- Sebagai Raja, Sultan, Kawan dan Manusia biasa
- Satu-satunya Sultan pernah zahirkan khutbah Jumaat
- Prihatin terhadap kebajikan Orang Asli
- Keakraban Almarhum Sultan Johor Jadi Kenangan Indah Sepanjang Hayat Aktivis Sosial Sarawak
- Sultan Iskandar tepikan protokol
- Daulat yang diabadikan
- Sultan Iskandar dermakan kesemua elaun kepada yayasan
- Sultan Iskandar: Raja Yang Tegas, Adil Dan Mahukan Yang Terbaik
- Peserta Festival Layang-Layang ziarah makam Sultan Iskandar