Social Icons

Peserta Festival Layang-Layang ziarah makam Sultan Iskandar

ARKIB : 06/02/2010


Sultan Iskandar berbual dengan Datuk Abdul Ghani 
Othman di Festival Layang-layang Antarabangsa 
Pasir Gudang pada tahun 2006.
JOHOR BAHRU 5 Feb. - Sejak 14 tahun lalu, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail tidak pernah gagal mencemar duli menghadiri Festival Layang- Layang di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.

Tahun ini, para peserta dan pengunjung tidak dapat menatap wajah baginda secara dekat kerana pada 22 Januari lalu, baginda telah kembali ke rahmatullah.

Meskipun tanpa kehadiran baginda yang merupakan pengasas festival tersebut, kenangan bersama Sultan Iskandar yang mesra itu masih abadi di sanubari setiap peserta.

Justeru, sebelum memulakan persembahan pada Festival Layang-Layang Antarabangsa Bandar Dato' Onn di bandar moden itu hari ini, kira-kira 40 daripada 87 peserta antarabangsa sempat meluangkan masa menziarah Makam Diraja Bukit Mahmoodiah untuk memberi penghormatan kepada Almarhum.

Peserta dari Australia, Michael Alvares, 58, berkata, keramahan Almarhum yang berjiwa rakyat dan mengetepikan protokol sebagai pemerintah ketika berbual dengan orang kebanyakan tidak akan dilupakan olehnya.

''Boleh dikatakan setiap tahun saya menyertai festival ini, cuma dua tahun lalu saya tidak dapat hadir kerana sibuk menguruskan perniagaan.

''Tahun lepas sewaktu saya hadir, Sultan (Almarhum) tanya kenapa saya tidak hadir sebelum itu. Tak sangka baginda ingat setiap peserta yang sering bertemu dengannya," katanya yang ditemani isteri, Jan Alvares, 53.

Seorang lagi peserta, Eva Palmers, 45, dari Jerman berkata, dia masih teringat keterujaan Almarhum yang begitu seronok melihat kepelbagaian bentuk layang-layang dari seluruh dunia.

''Kehilangannya (Almarhum) pasti dirasai oleh peserta kerana baginda merupakan pengasas festival tersebut.

Festival Layang-layang 2004.
''Walaupun festival kali ini tidak akan sama dengan sebelum pemergian baginda, kami harap penghormatan terakhir ini sebagai cara terbaik untuknya yang begitu baik dengan kami sejak beberapa tahun lalu," katanya sebak.

Peserta dari Hungary, Istvan Bodoczky, 62, yang pertama kali menyertai festival terbabit turut kecewa apabila tidak berkesempatan bertemu dengan Almarhum.

''Ramai rakan senegara beritahu saya baginda sangat baik dan 'sporting' tetapi saya tidak berpeluang berjabat tangan dengan baginda.

''Selain itu, saya juga terharu dengan cara rakyat negara ini terutama masyarakat Johor yang berkabung bagi menghormati kemangkatan Sultan, seperti yang turut diamalkan dalam masyarakat kami," katanya.
Sementara itu, peserta dari Austria, Helmut Georgi berkata, dia sentiasa menunggu untuk menyertai festival yang mengumpul ramai pelayang dari pelbagai negara itu.

Dia yang sudah 10 kali menyertai festival tersebut berkata, selain bertukar-tukar pandangan, aktiviti sebegitu juga dapat mengeratkan hubungan dengan peserta lain.

''Kebanyakan peserta yang ditemui di festival layang-layang adalah mereka yang cintakan seni. Saya sendiri gemar mencipta layang-layang kerana ia menguji kreativiti," katanya.

Bagi pasangan suami isteri dari Jepun, Eiji Ohashi dan Eiko Ohashi, setiap tahun mereka akan menyertai festival berkenaan dengan rekaan layang-layang baru.


Pasangan tersebut akan mempamerkan layang-layang tradisional rokkaku pada festival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

''Terdapat 300 layang-layang kecil yang disambung untuk menjadi layang-layang rokkaku. Pada festival begini kita dapat melihat pelbagai bentuk dan warna yang melambangkan budaya setiap peserta," kata Eiji yang turut mengajar orang ramai membuat layang-layang di Tokyo.

No comments:

Post a Comment