afzan@bharian.com.my
2010/07/17
KUALA LUMPUR: Naluri keibuan jelas bertakhta di hati isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris apabila meluahkan kegusaran hatinya terhadap kecenderungan generasi muda yang gemar merujuk blog bagi mendapatkan maklumat berhubung sesuatu perkara tanpa tapisan. Berkongsi rasa hati sebagai ibu, beliau mengakui perlu menerima perubahan dalam teknologi maklumat, termasuk blog dan internet, tetapi perlu ada pemantauan, supaya tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang mungkin terkandung di dalamnya.
Walaupun Raja Zarith Sofia kurang sihat serta keletihan berjumpa ramai rakyat sejak akhir-akhir ini, jiwanya tetap kelihatan bersemangat membicarakan isu remaja serta kanak-kanak yang sentiasa menjadi perhatiannya sejak dulu.
Masih serius membincangkan hal itu, beliau sempat makan ubat dan beberapa kali meneguk air suam terletak atas meja sisi sofanya. Kebimbangan itu semakin menebal apabila memikirkan segelintir orang muda yang menerima bulat-bulat maklumat dibaca lantaran cetek ilmu pengetahuan.
Katanya, sebagai ibu mempunyai anak remaja, beliau dan suami, Sultan Ibrahim selalu mengingatkan anakanda mengenai batas dalam melayari internet dan itulah juga yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa lain.
“Saya juga gemar melayari internet dan mendapati saban hari, boleh dikatakan ada 100 blog baru. Bagi wanita, ada blog untuk kecantikan dan fesyen, manakala lelaki pula ada sukan golf dan sebagainya... tetapi biarlah pemilihan itu kita tapis juga. Saya lihat ada sesetengah blog yang bukan saja tidak bertapis, malah penggunaan bahasanya amat kasar.
“Saya fikir generasi muda pula tidak seharusnya menerima 100 peratus apa yang dipaparkan, sebaliknya bertanya atau selidik dulu sesuatu perkara yang mungkin anda fikir maklumatnya tidak tepat,” katanya.
Kata-kata itu adalah lontaran peribadi Raja Zarith Sofia memulakan bicara pada awal perbualan ketika pertemuan Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times (NSTP), Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Wanita, Fadzlena Jafar di sini, semalam.
Pertemuan selama kira-kira sejam setengah itu menyingkap sisi penyayang dan keprihatinan beliau terhadap isu yang melanda pada masa kini, khususnya membabitkan generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan masa depan.
Ditanya mengenai blog peribadi, beliau mengakui berminat untuk menulis blog, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya.
Kelihatan lembut mengenakan baju kurung rona kuning dan dipadankan selendang hijau serindit serta sentiasa menguntumkan senyuman pada bibirnya, jelas terpancar citra wanita dan wajah keibuannya.
Raja Zarith Sofia hadir ke ibu kota selama dua hari sempena seminar Kesan Globalisasi kepada Masyarakat Muslim Kontemporari anjuran Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS) yang berlangsung kelmarin. Pada seminar itu, Raja Zarith Sofia turut menyampaikan ucaptama bertajuk Globalisasi: Membina Hubungan Antara Islam dan Barat.
Selain itu, Raja Zarith Sofia turut menegaskan pentingnya masyarakat menguasai bahasa Inggeris yang menjadi bahasa perantara utama dan terbitan sumber ilmu termasuk sains, teknologi dan agama.
Katanya, kegagalan menguasai bahasa Inggeris akan menjadi penghalang usaha menuntut ilmu dan mendapatkan rujukan.
“Bahan rujukan berbentuk keagamaan yang bagus seperti penulisan Imam Ghazali hanya didapati dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa Melayu. Justeru, sekiranya individu tidak dapat menguasai bahasa Inggeris, ia bagaikan satu halangan menambahkan ilmu. Samalah juga dengan ilmu yang lain, termasuk sains dan teknologi,” katanya.
No comments:
Post a Comment