Social Icons

PATAH TUMBUH, HILANG BERGANTI


SELURUH rakyat Johor merafak sembah takziah kepada Sultanah Zanariah dan kerabat di atas kemangkatan Sultan Iskandar Ibni almarhum Sultan Ismail pada 22 Januari lalu.


Almarhum akan sentiasa dikenang sebagai sultan yang prihatin terhadap masalah rakyat dan raja yang memerintah secara adil dan saksama. 

Dengan kemangkatan baginda Sultan Iskandar, bermula pulalah pemerintahan baru di bawah naungan Sultan Ibrahim, iaitu sultan kelima dalam era Johor moden.

Kini, seluruh rakyat Johor pastinya mengharapkan kepemimpinan cemerlang yang ditunjukkan oleh sultan-sultan terdahulu itu diteruskan pula oleh Sultan Ibrahim yang baru dimasyhurkan.


Sultan Ibrahim beruntung kerana baginda mewarisi sebuah takhta pemerintahan yang sudah terbina dengan kukuh sejak era nendanya Sultan Abu Bakar lagi. Pemerintahan yang berjaya memodenkan Johor itu kemudian diteruskan pula oleh Sultan Ibrahim, Sultan Ismail dan ayahanda baginda sendiri, Sultan Iskandar, bersama menteri-menteri besar yang berkhidmat sepanjang era Johor moden.

Sultan Abu Bakar yang digelar sebagai Bapa Pemodenan Johor telah membangunkan infrastruktur, sistem pentadbiran, perkhidmatan awam dan ketenteraan dengan model Barat. Baginda jugalah yang memperkenalkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor pada tahun 1895 sebagai usaha mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan Johor daripada ancaman British.

Sultan Ismail pula akan sentiasa terpahat dalam sejarah sebagai sultan yang turut bersama-sama gerakan massa orang Melayu yang bangkit menentang permainan kotor British yang mahu menghapuskan banyak hak Melayu melalui Malayan Union.


Keprihatinan baginda terhadap masa depan bangsa Melayu ekoran gagasan jahat British itu diperlihatkan dengan membenarkan Istana Besar Johor dijadikan tempat umat Melayu berhimpun menyuarakan bantahan mereka. Baginda jugalah yang merasmikan kongres pertama United Malays National Organization (UMNO) di Istana Besar Johor pada tahun 1946. Sultan Ismail turut prihatin dengan pembangunan ekonomi Johor dengan memerintahkan setiausaha peribadinya pada waktu itu, Dato’ Onn Jaafar, mengendalikan Johor Pavilion di ekspo perdagangan dunia di San Francisco pada tahun 1938.

Dalam era Sultan Iskandar pula, oleh kerana zaman pemerintahan baginda berada sepenuhnya dalam tempoh pasca kemerdekaan, program pembangunan yang disusun oleh kerajaan mungkin sudah cukup padat sehingga ruang untuk baginda memainkan peranan adalah terhad.

Pada zaman Sultan Iskandarlah Iskandar Malaysia (yang namanya diambil bersempena nama baginda) dilancarkan. Kini projek  embangunan wilayah yang sudah berjalan sejak Julai 2006 itu berada pula di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim bersama menteri besar selaku ketua pegawai eksekutifnya, Dato’ Abdul Ghani Othman, yang akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya.

Rakyat Johor pastinya mengharapkan baginda Sultan Ibrahim akan meneruskan tradisi kesultanan yang bukan sahaja dekat dengan rakyat, tetapi juga bekerjasama secara erat dengan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar.

Sultan Ibrahim sudah pasti mahu melihat projek Iskandar Malaysia ini berakhir dengan jayanya --- bukan sahaja kerana ia sebahagian daripada sebuah projek kerajaan negeri, malah nama projek itu sendiri ada nilai sentimental kepada baginda, iaitu nama almarhum ayahanda baginda sendiri.

Patah tumbuh, hilang berganti. Begitulah lumrah alam. Dalam pada rakyat Johor bersedih kerana kehilangan seorang sultan yang dikasihi, kesedihan itu sekurangkurangnya diimbangi dengan harapan terhadap sultan yang baru agar Johor akan terus maju dan makmur di bawah pemerintahan yang adil dan saksama.

Daulat Tuanku.


1 comment:

  1. alhamdulillah.Iskandar Malaysia berjalan dgn lancar.saya kelmarin pergi ke JB.banyak perubahan.cantik.tersusun. :)

    begitu juga dikawasan lain.Pagoh,Muar,Pontian.Batu Pahat.alhamdulillah.ada perubahan. :)

    tapi amat menyedihkan apabila ada DS Anwar semalam tulis dalam laman twitter dia.dia tulis pembangunan tak seimbang di johor.apa pula pendapat Kesultanan Johor ye?

    ReplyDelete