Social Icons

Keberangkatan Pulang Tuanku Mizan Berlangsung Dengan Penuh Istiadat Diraja


LAMBAIAN MESRA ... Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan
Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur
Zahirah melambai mesra kepada hadirin sebelum berlepas balik ke Kuala
Terengganu pada istiadat rasmi Tamat Tempoh Pemerintahan sebagai
Agong Malaysia ke-13 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. 
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Keberangkatan pulang Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah pada akhir tempoh perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pagi Isnin, berlangsung dengan penuh istiadat diraja.

Tuanku Mizan yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007 untuk tempoh lima tahun, berangkat meninggalkan Istana Negara pada pukul 11 pagi.

Keberangkatan baginda berdua diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku menteri pengiring dan isterinya Datin Seri Che Sharifah Ismail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan isteri Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah sebelum itu berkenan meluangkan masa bersalaman dengan kesemua 500 petugas Istana Negara, sebelum berangkat ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Terengganu.

Tuanku Mizan yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai 'muskat' turut menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Muskat, persalinan yang berasal dari kerajaan tua Muscat yang kini dikenali sebagai Oman, merupakan baju labuh separas paha dan berlengan panjang yang diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dan dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia.

Baginda berdua berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi seramai tujuh pengiring bermotosikal serta 12 pengiring am diraja daripada Kor Armour Diraja.

Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat oleh Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 45 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohd Zaffar Ismail.

Ketika itu juga lagu 'Negara Ku' dimainkan oleh pasukan pancaragam batalion tersebut yang dianggotai oleh 30 anggota lain-lain pangkat.

Ketibaan pasangan diraja itu di Dataran Parlimen yang diiringi tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja, disambut Najib dan isteri.

Baginda berdua kemudian diiring ke peterana, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik 'Hormat Diraja' oleh pasukan kawalan kehormat, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai dari Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Lt Mohd Nor Azizan Yahya.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, disusuli tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.

Baginda berdua kemudian berangkat bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.

Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 12.35 tengah hari didahului dengan perarakan mengikut tradisi kesultanan Melayu, dikepalai seekor gajah dilengkapi tandu yang dihiasi payung kuning dan kain baldu berwarna merah.

Perarakan berwarna-warni itu diiringi 30 pemalu gendang dan disertai 300 pengiring berpakaian tradisional rakyat Malaysia, hulubalang dan inang istana bergerak mendahului kenderaan yang membawa pasangan diraja ke pintu kompleks.

Ketibaan baginda berdua di pintu utama kompleks itu disambut Najib dan isteri, serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais.

Setiba baginda berdua ke peterana khas di kompleks itu, seramai 40 pesilat membuat persembahan, diikuti jamuan ringan sebelum baginda berangkat ke pesawat khas.

Ini disusuli persembahan 'Daulat Tuanku' oleh peserta perarakan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebelum baginda berdua menaiki pesawat untuk berlepas pulang ke Terengganu.

Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali berserta lambaian dari semua yang hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda berdua.

Pesawat khas yang membawa baginda berdua selamat berlepas meninggalkan KLIA menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada pukul 1.15 petang.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, manakala Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, 42, dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih melaksanakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah pada 1970 iaitu dari 21 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975.

Baginda akan berangkat bagi menghadiri istiadat melafaz dan menandatangani sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Selasa.

No comments:

Post a Comment