Tarikh Peristiwa: 06.01.1857
Pada hari ini dalam tahun 1857, baginda Sultan Selangor, Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah, mangkat setelah memerintah selama 31 tahun (1826-1857).
Almarhum Sultan Muhammad bukanlah merupakan Putera daripada isteri tua ayahandanya, tetapi oleh kerana baginda telah dijadikan Raja Muda Selangor pada masa hayat ayahandanya lagi, orang besar-besar Selangor pun mengangkat baginda menjadi Sultan dan bersemayam di Kuala Selangor.
Baginda tidak secekap Almarhum ayahanda baginda dalam memerintah negeri dan tidak dapat menguasai sepenuhnya raja-raja dan pembesar-pembesar yang memerintah di daerah-daerah lain dalam negeri Selangor. Oleh sebab itu, pada masa pemerintahan baginda, negeri Selangor didapati sebagai sebuah negeri yang mengandungi daerah-daerah yang berpecah-pecah, iaitu Bernam, Kuala Selangor, Kelang, Langat dan Lukut. Baginda hanya menguasai Kuala Selangor.
Kemangkatan baginda pada hari ini dalam tahun 1857, telah menimbulkan pertelingkahan di antara kerabat-kerabat diraja dan pembesar-pembesar tentang pemilihan pengganti Sultan.
Pada ketika itu Raja Muda Mahmud, iaitu putera gahara yang sepatutnya menggantikan Sultan Muhammad masih terlalu kecil. Akhirnya setelah bertelingkah selama hampir-hampir 3 tahun, Raja Abdul Samad Bin Raja Abdullah (anak saudara dan menantu almarhum Sultan Muhammad) dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Selangor pada tahun 1859, dan memerintah selama 39 tahun (1859-1898).
Perlantikan itu adalah hasil dari desakan Raja Jumaat dari Lukut, seorang kerabat diraja yang paling terkemuka dan berpengaruh di Selangor pada masa itu.
Zaman pemerintah baginda adalah merupakan zaman yang penting dalam sejarah negeri Selangor kerana berlakunya peperangan saudara untuk merebut takhta dan kawasan dan juga merupakan zaman orang-orang Cina turut membuka lombong bijih bersama-sama orang Melayu, terutamanya Raja Abdullah (adik Raja Jumaat).
Pembukaan lombong-lombong bijih itu telah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar perniagaan yang penting. Pada zaman itu juga pihak British mulai campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri Selangor.
No comments:
Post a Comment