Tarikh Peristiwa: 18-01-1956
Pada hari ini dalam tahun 1956, satu daripada rundingan ke arah kemerdekaan yang dikenali juga sebagai Persidangan Malaya Merdeka di London telah diadakan. Pada hari inilah, bermulanya persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil Kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Persidangan ini telah mengambil masa selama 3 minggu dan masalah-masalah yang telah dibincangkan ialah:-
- Malaya akan merdeka dalam lingkungan Commonwealth British.
- Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dikuasai oleh Menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu.
- Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.
Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari Dato' Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Tuan T.H. Tan dan Encik Bahaman Shamsudin. Sementara wakil-wakil dari Raja-Raja Melayu pula terdiri dari Dato' Panglima Bukit Gantang, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid dan Dato Mohd. Seth. Sesungguhnya persidangan Malaya Merdeka di London pada hari ini dalam tahun 1956 telah membuka jalan untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan dalam satu upacara yang gilang-gemilang pada 31 Ogos 1957.
|
Apkah yang terjadi pada masa itu
ReplyDelete