Social Icons

09-01-2004 CHE PUAN HAMINAH DIISYTIHAR SULTANAH KEDAH


Pada hari ini 9 Januari dalam tahun 2004, Che Puan Kedah Haminah Hamidun dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah pada majlis penuh adat istiadat diraja yang berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Istiadat pemasyhuran ini dimulakan dengan bacaan selawat dan paluan nobat mengiringi keberangkatan masuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Che Puan Hamidah ke dewan penghadapan dan diikuti dengan perarakan membawa masuk alat-alat kebesaran diraja. Watikah pemasyhuran telah dibacakan oleh Menteri Besar, YAB Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang diikuti dengan istiadat memakaikan mahkota kebesaran oleh Sultan kepada Che Puan Kedah. Upacara itu melayakkan Che Puan Kedah menggunakan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Sultanah Kedah Darul Aman.  Baginda Sultan kemudiannya berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran (DK) kepada Sultanah. Serentak itu tembakan meriam dilepaskan menandakan sempurna istiadat itu.  Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbullah Abd. Halim. Istiadat pemasyhuran ini diadakan berikutan kemangkatan Sultanah yang lepas, Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 26 Ogos 2003. Berangkat sama pada majlis bersejarah ini ialah Raja Muda dan Raja Puan Muda Kedah, putera-puteri, kerabat-kerabat diraja.

No comments:

Post a Comment