KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga tingkah laku dan disiplin supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat.
Baginda bertitah ini kerana warga PDRM sentiasa menjadi perhatian masyarakat yang kebelakangan ini hanya melihat perkara buruk mengenai pasukan itu.
"Dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan ketenteraman awam anda akan berdepan dengan masyarakat yang mempunyai pelbagai karenah. Tanamlah sifat sabar dan sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku serta menjunjung nilai integriti yang tinggi dalam diri masing-masing.
"Jangan harapkan pujian yang manis atas kejayaan yang dicapai tapi bersedialah untuk menerima cacian atau satu kegagalan kecil kerana masyarakat sekarang hanya nampak yang buruk daripada yang baik," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian, Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.
YAM Tunku Abdul Jalil ibni Sultan Ibrahim mengiringi Tuanku Sultan Johor memeriksa perbarisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan siri 1/2011 di PULAPOL pagi tadi. |
"Diharap, dengan arus teknologi terkini, warga PDRM dapat menggunakan perkongsian dan penyebaran maklumat ini secara cepat dan berkesan serta dapat berhubung secara langsung dengan masyarakat awam. Perkongsian ini mampu memberi impak postif dalam pelaksanan tugas pasukan," titah baginda.
Terdahulu, Ismail dalam ucapannya berkata cabaran utama yang perlu dihadapi pasukan masa kini ialah meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.
"Ini kerana masih terdapat rungutan orang ramai mengenai kejadian jenayah yang masih kerap berlaku dan persepsi 'fear of crime' belum diatasi sepenuhnya.
"Sebagai pegawai yang berhemah, anda perlu semaikan perasaan timbang rasa dan memahami masalah masyarakat serta tangani masalah dan isu secara profesional dengan fikiran yang matang," katanya.
Beliau berkata, setiap pegawai polis perlu sentiasa mendekati masyarakat dan merapatkan hubungan bagi menjalinkan kerjasama dalam memerangi jenayah.
Pada majlis ini, seramai 960 pelatih iaitu 570 lelaki dan 390 wanita menamatkan latihan selama sembilan bulan.
No comments:
Post a Comment