JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengisytiharkan pelantikan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris, sebagai Tunku Temenggong Johor.
Pengisytiharan itu dilakukan Sultan Ibrahim semasa bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.
"Sempena sambutan hari yang mulia ini, pada fikiran saya, adalah molek untuk saya melantik dan menjadikan anakanda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah baginda di hadapan kerabat diraja, pentadbir negeri dan seluruh rakyat yang hadir.
Berangkat pada sambutan itu, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Idris dan kerabat diraja yang lain.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Abdul Latiff Yusof, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan, turut hadir.
Tunku Idris, 22, yang berkhidmat dengan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pernah menempa nama dengan mengetuai lintas hormat enam pesawat udara sempena perarakan sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak pada 2007.
Sultan Johor Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah dan pengisytiharan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Baharu hari ini. |
Lintas hormat itu menggunakan helikopter EC120 yang diiringi dua helikopter EC120 lain, sebuah pesawat jenis Socata TB10 dan dua buah pesawat Eagle 150B buatan Malaysia.
Sementara itu, Sultan Johor dalam titah ucapan baginda turut melahirkan rasa kesal baginda dengan sikap "kaki judi" beragama Islam di negeri ini yang tidak mempunyai perasaan malu dengan sanggup melakukan perbuatan syirik untuk mendapatkan kemewahan.
"Ada di kalangan kita yang melakukan pelbagai cara untuk mencari kemewahan hidup di dunia termasuk melakukan perbuatan syirik seperti kaki judi yang sanggup melangkah kubur untuk mendapatkan nombor ekor," titah baginda.
Baginda bertitah arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Agama Islam Johor untuk mengambil tindakan tegas supaya rakyat di negeri ini tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama.
"Saya masih tidak faham, ada juga jemaah yang tergesa-gesa meninggalkan masjid sebelum doa selesai dibaca. Saya sudah minta Jabatan Agama Islam untuk memendekkan doa kepada Sultan supaya jemaah tidak perlu tunggu lama untuk melakukan urusan masing-masing tetapi masih lagi ada jemaah yang meninggalkan masjid.
"Doa sudah pendek, kalau dipendekkan lagi seolah-olah kita tidak mahu berdoa untuk dapat keberkatan dan hidayah dari Allah," titah baginda.
Sultan Ibrahim dalam pada itu turut mengingatkan pentadbir negeri, pegawai kerajaan dan wakil rakyat supaya menunaikan tanggungjawab dengan amanah, jujur dan ikhlas serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Rakyat juga perlu bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah dan mensyukuri nikmat yang dicapai supaya negeri Johor terus membangun dengan maju, titah baginda.