Social Icons

Sultan Johor: Hentikan amalan menabur fitnah



MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya menghindari amalan menabur fitnah kerana perbuatan itu boleh merosakkan perpaduan dikalangan masyarakat.

Baginda bertitah, Umat Islam hendaklah sentiasa mengamalkan cara hidup yang berlandaskan syariat, serta meninggalkan perbuatan yang tidak baik.

"Salah satu perbuatan yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat adalah amalan menabur fitnah.
"Dalam dunia sekarang yang berasaskan Internet dan teknologi maklumat (ICT), maklumat dan berita mudah disebarkan, apatah lagi fitnah dan pembohongan yang boleh direka serta diubah suai untuk menjatuhkan dan memfitnah seseorang atau sesuatu kumpulan.

"Suka saya ingatkan di sini, kita tidak seharusnya percaya bulat-bulat maklumat yang diterima daripada Internet mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana maklumat yang dipaparkan itu belum tentu akan kebenarannya,” titahnya.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Masjid Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Baginda turut mengingatkan umat Islam supaya menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai contoh di samping mengamalkan sunnahnya.

"Sambutan Maulidur Rasul adalah acara utama masyarakat Islam seluruh dunia. Oleh itu kita sebagai umat Islam perlu menyambutnya bagi menunjukkan kecintaan kepada Rasullulah.

"Mudah-mudahan dengan menyambutnya secara ikhlas kita dapat menjadi insan lebih baik dan mendapat syafaat Rasullulah serta dilindungi Allah," titahnya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim diiringi Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul yang disertai 1,500 kakitangan kerajaan dan 80 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

No comments:

Post a Comment