JOHOR BAHARU - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 yang akan menjelajah ke seluruh negeri Johor menggunakan motosikal berkuasa tinggi selama empat hari mulai Ahad ini, akan lebih menumpukan kepada kebajikan rakyat berbanding kembara sebelum ini.
  
Sultan Johor Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menyampaikan pelbagai bantuan kepada golongan kurang bernasib baik termasuk ibu tunggal, keluarga miskin dan nelayan sepanjang kembara sejauh 1,012 kilometer merentasi 10 daerah di negeri ini, yang bermula dari Kulaijaya.
  
"Kerajaan pusat ada menyumbangkan sedikit peruntukan kepada program kembara kali ini. Jadi, tugas saya ialah untuk memberikan semula peruntukan yang diberikan kepada seluruh rakyat negeri ini," titah baginda kepada pemberita sempena KMJ 2012 di Istana Pasir Pelangi, di sini, hari ini.
  
Sultan Ibrahim bertitah selain menawarkan hadiah dua buah motosikal di setiap daerah menerusi cabutan nombor bertuah, KMJ 2012 juga cukup istimewa apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk melepaskan rombongan yang diketuai baginda, yang akan menggunakan motosikal Harley Davidson Street Glide.
  
Baginda bertitah kedatangan Najib amat dialukan kerana baginda mahu Perdana Menteri melihat sendiri penerimaan rakyat terhadap aktiviti yang dijalankan serta hubungan institusi diraja dengan rakyat.

Titah baginda, kembara kali ini hanya disertai kesemua anakanda baginda kerana Permaisuri Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berada di Oxford, England.
  
Baginda bertitah KMJ 2012 juga amat istimewa kerana ia dianjurkan buat kali ke-13 dan bermula pada 13 Mei.
  
Sultan Ibrahim bertitah seperti kembara terdahulu, baginda sangat teruja untuk menyaksikan pelbagai pembangunan di negeri ini dan menyelami masalah yang dihadapi oleh rakyat.
  
Titah baginda sebagai negeri yang terkenal dengan jolokan 'permata selatan', kemajuan yang ada di Johor akan membawa kemajuan kepada negeri lain di negara ini.
  
Sultan Ibrahim pada masa yang sama menasihatkan semua rakyat supaya hidup bersatu padu dengan tidak mengadakan pelbagai bantahan bagi menentang pembangunan yang cuba dilakukan kerajaan.
  
Baginda bertitah kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan rakyat dalam setiap pembangunan yang dilakukan, malah baginda turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman pada setiap Rabu bagi memantau pelbagai perkembangan di negeri ini.
  
"Hadiah istimewa yang saya mahukan ialah melihat rakyat bersatu padu. Mengadakan demonstrasi bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Menerusi KMJ, rakyat boleh datang jumpa saya secara terus dan jangan malu-malu," titah baginda yang merancang untuk melawat sungai-sungai di seluruh Johor menerusi kembara akan datang. - Bernama