14 April 2012
KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada malam Sabtu bertitah pengurniaan pingat dan darjah kebesaran negeri itu adalah kuasa mutlak raja yang memerintah . Baginda bertitah pada majlis Malam Johor Di Hatiku anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di sini.
Turut berangkat pada majlis santapan itu Sultanah Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga penaung PAMJ, dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sultan Ibrahim turut melahirkan kekesalan baginda kerana masih ada pihak yang percaya kepada broker pingat untuk mendapatkan darjah kebesaran.
"Semuanya adalah mengikut titik pandang saya sendiri, bukan dicadangkan oleh mana-mana pihak. Oleh itu janganlah ada sesiapapun yang cuba melobi saya dalam hal ini,” titah baginda.
Baginda bertitah pengurniaan itu adalah mengikut 'tilik pandang' baginda sendiri dan bukan cadangan daripada mana-mana pihak. "Oleh itu, janganlah ada sesiapapun yang cuba melobi saya dalam hal ini," titah baginda.
“Kepada sesiapa yang rasa dirinya layak untuk menerima pingat atau darjah kebesaran, sabar-sabar dulu, saya belum rabun lagi dan saya nampak siapa yang patut menerimanya,” tambah baginda lagi.
Sehubungan itu, jika ada pihak merasakan diri layak memperoleh pingat serta darjah kebesaran, mereka perlu bersabar kerana baginda dapat melihat orang yang patut menerimanya.
Sultan Ibrahim memberi contoh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya dikurniakan Darjah Mahkota Johor setelah begitu lama menjadi Menteri Besar Johor.
"Cubalah tanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berapa lama selepas menjadi Menteri Besar Johor, baru beliau dikurniakan darjah mahkota Johor," titah baginda.
Sebelum ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan terhadap broker pingat yang didapati bersalah kerana menipu orang kenamaan yang mahukan pingat dengan jalan mudah.
Sementara itu, menyentuh mengenai pembangunan negeri Johor, Sultan Ibrahim bertitah, pembangunan ekonomi negeri itu pada ketika ini adalah hasil usaha pemimpin kerajaan dan seluruh rakyat Johor. Baginda berharap pemimpin atasan di peringkat pusat dari Johor tidak akan lupa untuk membantu negeri sendiri.
“Sejak dulu lagi negeri Johor telah berjaya melahirkan ramai pemimpin Melayu terbilang pada hari ini. Kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri dan ramai menteri yang merupakan orang Johor. Oleh yg demikian dengan adanya pemimpin-pemimpin atasan dari Johor, saya berharap mereka tidak lupa membantu negeri sendiri.
“Sekiranya ada projek-projek kerajaan yang hendak diagih-agihkan, bagilah peluang kepada syarikat atau pengusaha dari Johor. Jika ada sumbangan yang hendak dihulurkan, berilah keutamaan kepada rakyat Johor dan jika ada pembangunan yang hendak dibuat, bawalah ke Negeri Johor. Siapalah yang akan membantu negeri kita kalau bukan orang kita sendiri,” titahnya.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Baginda juga berharap anggota PAMJ, yang ditubuhkan pada 1982, tidak akan mengambil kesempatan menggunakan persatuan itu untuk kepentingan peribadi, dan mereka perlu bekerjasama bagi mencapai matlamat serta tujuan penubuhannya.