Social Icons

Serambi Masjid: Berusia 100 tahun

CANTIK...gabungan seni bina tempatan dengan Eropah, Timur Tengah, India.

Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor memiliki seni bina mengagumkan malah kedudukannya yang terletak di atas bukit menghadap Selat Tebrau menyerlahkan lagi keistimewaannya.

Dari atas bukit itu juga dapat dilihat kota Singapura yang berada di seberang laut. Masjid berkenaan mula dibina pada zaman kolonial Inggeris di Tanah Melayu.

Atas keunikan dan nilai sejarah yang dimiliki itu ia berjaya menggamit kehadiran pelancong yang datang dari dalam dan luar negara.

Peletakan batu asas dilakukan Sultan Abu Bakar pada 1 Muharam 1310 Hijrah bersamaan 26 Julai 1892 dan ia siap sepenuhnya pada 1900.

BERSEJARAH...salah satu daripada empat menara yang
menjadi mercu tanda bangunan penjajahan kolonial kurun ke-19.
Solat Jumaat pertama pula diadakan pada 1 Syawal, 2 Februari 1900. Usia masjid itu kini melebihi 100 tahun namun keaslian seni binanya masih terpelihara.

Selain mengetengahkan seni bina Eropah, masjid itu turut bercirikan seni Timur Tengah dan India selain diserikan lagi dengan kemasan hasil seni bina sentuhan idea anak tempatan.

Ia membuktikan jurutera Melayu berkeupayaan membina bangunan hebat dan indah seperti yang terdapat di Eropah dan Timur Tengah.

Jurutera tempatan yang terbabit dengan pembinaan masjid itu ialah Datuk Yahya Awaluddin. Malah lukisan asas masjid itu juga hasil ilham Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar yang menerima pendidikan Inggeris.

Ciri lain yang terdapat pada masjid berkenaan dapat dilihat pada menaranya. Terdapat empat menara setinggi bangunan dua tingkat yang berbentuk bulat di atas, empat persegi di bawah dan berkubah.

Menara berkenaan turut dihiasi lampu yang diimport khas dari Turki sementara batu marmar dari Itali. Bangunan itu cukup jelas menggambarkan ia hasil tinggalan penjajahan kolonial pada kurun ke-19.

Ukiran masjid itu juga dikatakan mempunyai persamaannya dengan ukiran yang terdapat di Masjid Sultan Hassan, Mesir dan Masjid Imam Shafie.
INDAH...Masjid Jamek Sultan Abu Bakar, Johor Bahru pada
waktu malam.

Sementara itu, beranda turut disediakan bagi kemudahan pelawat beristirahat dan meninjau kawasan sekeliling masjid.

Bagi anda yang pernah sampai ke masjid itu pasti dapat merasakan suasana nyaman sepanjang hari disebabkan kedudukannya di atas bukit.

Pelancong juga tidak pernah melepaskan peluang mengabdikan gambar kenangan ketika berkunjung ke masjid bersejarah itu terutamanya ketika matahari mulai terbenam.

Pelbagai kemudahan disediakan di masjid berkenaan termasuk pusat sumber, pejabat pentadbiran, makmal komputer, kawasan rekreasi dan riadah, dewan seminar serta kuliah.

PROFIL

Imam Besar: Halid Sono
Timbalan Imam Besar: Datuk Mahat Said
Imam 1: Shukri Bachok
Imam 2: Muhammad Afiq
Imam 3: Sallahuddin Nastani
Setiausaha: Muhammad Izuddin Hassan
Bilal 1: Fadhil Noh
Bilal 2: Firdaus Omar
Bilal 3: Mohd Arif Majid

No comments:

Post a Comment