Social Icons

Tunku Idris bantu 60 fakir miskin sempena Ramadan



Seramai 60 fakir miskin di sekitar bandar raya ini menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang saku daripada Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim bagi meringankan beban mereka sempena Ramadan dan persiapan menjelang Aidilfitri.

Pada majlis di Masjid India Datuk Ahmad Awang di sini semalam, Tunku Idris turut berkenan meluangkan masa bermesra dengan rakyat apabila mengunjungi khemah membuat bubur lambuk di luar pekarangan masjid berkenaan.

Selain itu, Bank Muamalat Malaysia Berhad menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM101,518 kepada Tunku Idris yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Mohd. Redza Shah yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut berkata, program penyerahan bantuan dan memasak bubur lambuk itu adalah salah satu acara tahunan yang dijalankan pihak pengurusan masjid dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Kebanyakan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras dan wang saku adalah hasil kutipan daripada orang ramai khususnya jemaah masjid ini untuk disalurkan kepada golongan fakir miskin,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Johor untuk membuat bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diedarkan kepada orang ramai yang melalui kawasan tersebut.