Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada 19 September 1982. Majlis persandingan berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Perak pada 12 September 1983 dan Majlis Persandingan di Johor Bahru pada 19 dan 20 September 1983.
Perkahwinan yang membawa erti yang besar, bukan sahaja kepada kedua mempelai, malah kepada kedua-dua negeri Johor dan Perak.
Selama 2 hari, Isnin dan Selasa rakyat Johor telah menyaksikan satu upacara perkahwinan diraja yang gilang gemilang. Jalan-jalan dan bangunan-bangunan dihiasi dengan bendera serta lampu beraneka warna menjadikan Johor Bahru begitu indah sepanjang dua malam tersebut.
Pelamin dibina ditengah-tengah perkarangan Istana dan dikelilingi astaka untuk raja-raja dan tetamu kehormat. Bagi rakyat yang tidak dapat melihat dari dekat, berpuluh buah televisyen diletakkan di sekeliling istana dan menayangkan upacara yang berlangsung secara terus menerus.
Dengan kecantikan yang dimiliki oleh kedua mempelai, tidak hairanlah ramai menganggap bahawa pasangan diraja ini tidak kalah jika dibandingkan dengan pasangan diraja Britain, Putera Charles dan Puteri Diana.