Social Icons

11-01-1942 - MUAR DI BOM TENTERA JEPUN

Jepun mula memasuki Malaya pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan pertama tentera lautnya di Pantai Dasal dekat Kota Bharu, Kelantan. 

Di sini mereka terus mara ke selatan dengan matlamat untuk menawan Singapura sebagai destinasi terakhir mereka.  

Pada hari ini dalam tahun 1942 tentera Jepun telah pun sampai ke Muar, Johor.  Bandar Muar telah dibom oleh tentera-tentera Jepun. Pengeboman Bandar Muar itu menandakan saat-saat terakhir kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun oleh kerana kedudukan Muar dan Johor yang strategik bagi pertahanan akhir di Tanah Melayu. 

Serangan-serangan bom ini telah dilakukan oleh Pasukan tentera udara Jepun.  Akibat serangan ini Jepun kemudian telah menguasai tebing utama Sungai Muar. Penduduk-penduduk Muar telah diarahkan oleh pihak berkuasa supaya berpindah ke kawasan-kawasan pendalaman dan kampung-kampung. 

Serangan-serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh General Nishimura. Dan pada masa yang sama pihak British telah meletakkan pasukan Brigade ke-45 Infantry India yang baru tiba dan tidak berpengalaman, dan pasukan Australian Imperial Force di bawah arahan Leftenan General Bennets, untuk bertahan di Muar. 

Kelemahan pihak British ini menyebabkan pasukan Jepun dapat menawan Bandar Muar dengan mudah sekali tanpa tentangan hebat.  

Dengan menggunakan jambatan-jambatan yang dibina di atas perahu-perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta-kereta kebal Jepun kemudiannya menyeberang Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942 berjaya menguasai tebing Sungai Muar sepenuhnya. Pihak British terpaksa berundur dan cuba menyerang balas di Bakri tetapi gagal.  

Pada 20 Januari 1942 mereka terpaksa berundur.   Tentera-tentera Jepun terus mara dan menawan Batu Pahat, Kluang dan Ayer Hitam.   Menyedari suasana bahaya sekiranya mereka terus bertahan di Johor, pihak British selepas bersidang di Pejabat Third Indian Corps mengambil keputusan untuk berundur dari Johor mulai 28 Januari 1942 atau selewat-lewatnya pada 3 Februari 1942. 

Dengan pengunduran ini, maka berakhirlah pertahanan British di Tanah Melayu.  Tentera-tentera Jepun yang sudah menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu, hanya menunggu masa untuk terus menyerang   Singapura.