Social Icons

07-01-1942 - KAKITANGAN KERAJAAN DI JOHOR DIARAHKAN BERCUCUK TANAM

Pada hari ini dalam tahun 1942, pentadbiran Jepun di Johor telah mengarahkan kakitangan kerajaan bercucuk tanam. Arahan keras ini telah dikeluarkan akibat kekurangan barang makanan dan kadar inflasi yang amat tinggi. Di samping itu juga pihak Jepun berharap agar usaha bercucuk tanam dapat dicontohi oleh orang ramai.

Arahan bercucuk tanam ini tidak lebih dari satu paksaan ke atas kakitangan kerajaan. Mereka dimestikan bercucuk tanam sekurang-kurangnya sejam tiap-tiap hari sama ada di waktu pagi sebelum pergi bekerja atau disebelah petang selepas kelas bahasa Jepun. Kakitangan yang ingkar mematuhi arahan ini akan dipotong catuan beras mereka. 

Jenis tanaman yang digemari ialah ubi kayu dan sayur-sayuran kerana kedua-dua jenis tanaman ini dapat mengeluarkan hasil dengan cepat.

Selain daripada kakitangan kerajaan penduduk Johor yang lain juga dipaksa bercucuk tanam. Setiap orang, termasuk perempuan dan kanak-kanak dipaksa mengusahakan kebun seluas 1 hektar seorang. Mereka yang engkar akan dihukum berat dan dianggap sebagai musuh Jepun.



Jepun juga memperkenalkan sistem pertanian berkelompok. Dalam sistem ini berpuluh-puluh orang dipaksa membuka kawasan baru untuk pertanian. Sebuah kawasan di Endau telah dibuka dan dikenali sebagai New Syonan Colony khas untuk penempatan semula orang-orang Cina dari Singapura. Walau bagaimanapun arahan-arahan dan paksaan bertani ini tidak berjaya. Rakyat terus mengalami kesusahan dan kelaparan sehingga ke akhir zaman pemerintahan Jepun.