Social Icons

29-01-2010 - TUNKU ISMAIL DIMASYURKAN SEBAGAI TUNKU MAHKOTA JOHOR

Ikrar setia...Tunku Ismail yang dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor berikrar akan sentiasa melaksanakan
segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat. Gambar oleh Hairul Abu Bakar.

Hari ini 29 Januari dalam tahun 2010 Anakanda sulung Sultan Johor, Tunku Ismail, dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor semalam di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini.

Istiadat pemashyuran itu turut disaksikan oleh bonda Tunku Ismail, Raja Zarith Sofiah, dan kerabat diraja.

Istiadat permasyhuran itu diumumkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab, mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Johor, memilih dan melantik seorang waris takhta bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1 fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor, mengikut nasihat Jumaah Diraja, dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," titah baginda.

Sejurus Sultan Ibrahim selesai bertitah, Tunku Ismail mengangkat ikrar setia dan berjanji akan sentiasa melaksanakan segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Dr Prof Jamilah Ariffin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot; barisan Exco, Ahli Dewan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Tunku Ismail dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ibrahim, yang dimasyurkan sebagai Sultan Sabtu lalu berikutan kemangkatan nendanya, Almarhum Sultan Iskandar, pada malam Jumaat lalu.

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan dilantik sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006.

Tunku Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama, Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru, sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Antarabangsa Australian, Singapura, dan kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Hale, Perth, Australia antara 1999 dan 2002.

Baginda yang mewarisi minat nenda dan ayahandanya, turut mendapat latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, sebagai Pegawai Kadet di sana pada 2003.
Setelah tamat pengajian di IMA, Tunku Ismail dikurniakan pangkat leftenan dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India, berkhidmat sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

Tunku Mahkota mencatatkan sejarah apabila baginda menjadi rakyat asing pertama mengetuai pasukan tentera India pada Hari Kebangsaan Republik India pada 26 Jan 2007 serta dipilih oleh Presiden India sendiri untuk mengetuai unit regimen terdiri 400 anggota itu.