Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my
radiah.saori@kosmo.com.my
PEMAIN-PEMAIN berstatus bintang menjadi taruhan Johor Darul Takzim bagi menghadapi saingan Liga M musim ini.
|
GELOMBANG bola sepak yang berlaku di Pantai Timur sejak tiga musim lalu mungkin beralih arah ke selatan tanah air apabila kempen Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya dengan sepak mula Liga Super pada 8 Januari ini.
Berbeza musim terdahulu, kempen tahun 2013 diibaratkan sebagai musim paling mengujakan bagi peminat bola sepak tempatan yang berharap untuk menyaksikan saingan liga yang lebih kompetitif.
Paling mencuri tumpuan pastinya kemunculan Johor Darul Takzim iaitu pasukan ranking teratas yang ingin disaksikan oleh jutaan penyokong bola sepak Malaysia.
Dikenali antara pasukan berstatus kelab paling lama dalam kancah Liga M, Johor Darul Takzim atau nama lamanya, Johor FC mencetus fenomena baharu dengan membariskan pemain-pemain berstatus bintang.
Mengetuai senarai itu pastinya gandingan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali selain kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim.
Turut berada dalam senarai pemain yang akan menyarung jersi Johor Darul Takzim adalah pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Razak, Azmi Muslim, Muslim Ahmad serta Nurul Azuan Roya.
Melengkapkan koleksi pemain bintang dalam pasukan itu pastinya dengan kehadiran bekas penjaring terbanyak Liga Sepanyol, Daniel Guiza dan bekas pemain Serie A, Simone Del Nero dari Itali.
Hakikatnya, deretan pemain-pemain bertaraf lima bintang yang mengisi posisi Harimau Selatan ini bukanlah sekadar untuk menyerikan pasukan tetapi masing-masing memikul tanggungjawab yang cukup besar.
Seperti yang pernah dikatakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, rombakan besar-besar yang dilakukan Johor Darul Takzim mempunyai satu matlamat iaitu untuk menjadi juara, sekali gus menjadi pasukan yang digeruni dan disegani pihak lawan.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima Jersey daripada Wakil Kappa Malaysia
Mohamed Afiq Tam (left), di Majlis Perlancaran Pasukan Bola Sepak Negeri
Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru.
|
Malah, Tunku Ismail turut melaungkan amaran kepada semua pemain bahawa Johor Darul Takzim bukanlah tempat 'percutian' sebaliknya tempat untuk mencipta kejuaraan. (Click)
"Mereka (pemain) bukan datang sini (Johor) untuk bercuti dan hanya menerima gaji setiap bulan tetapi kami mempunyai matlamat yang besar untuk dicapai," kata baginda pada satu sidang akhbar di Johor Bahru baru-baru ini.
Di sebalik misi mengejar kejayaan, Tunku Ismail berkata, dia turut mempunyai matlamat jangka panjang iaitu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Johor.
"Kami mahu menaikkan semula nama Johor dalam arena bola sepak tempatan dan saya amat gembira dengan pasukan ini. Sebab itu kami telah merancang hampir setahun untuk mengenalpasti pemain-pemain berkualiti," katanya.
Dalam pada itu, keghairahan PBNJ untuk menyediakan sebuah pasukan mantap sehingga sanggup melabur besar turut mendapat reaksi berbeza daripada pemerhati bola sepak tempatan.
Ada yang beranggapan tindakan PBNJ boleh menjejaskan perkembangan bola sepak tanah air kerana akan mendorong pemain bermain semata-mata kerana wang tetapi tidak kurang juga yang berpendapat perubahan yang berlaku kepada Johor Darul Takzim musim baharu ini bakal memberi impak besar kepada persaingan untuk merebut kejuaraan.
Kehadiran pasukan baharu Johor Darul Takzim dilihat mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan-pasukan Pantai Timur diketuai juara trebel, Kelantan, Terengganu, T-Team dan Pahang selain Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bekas juara Piala Malaysia, Perak.
Begitupun, pengurus yang juga ketua jurulatih, Fandi Ahmad enggan terlalu mendabik dada dengan status bintang yang dimiliki pasukannya.
Sebaliknya, legenda Singapura itu mahu lebih berfikiran positif dengan menumpukan sepenuhnya kepada persediaan pasukan, selain membentuk persefahaman di kalangan pemain.
"Sebagai pemain profesional, saya yakin mereka dapat adaptasi corak permainan kita kerana mereka pernah bermain dengan banyak pasukan lain dan yang berubah mungkin dari segi serangan dan pertahanan. Apa yang penting adalah disiplin mereka," katanya.
Mengulas mengenai tekanan dalam melatih deretan pemain berstatus bintang, Fandi menganggapnya sebagai lumrah yang perlu ditempuhi oleh mana-mana jurulatih.
"Saya berpuas hati dengan komitmen diberikan, mereka kelihatan bersemangat berlatih bersama yang lain, keadaan mereka juga bagus, sekali gus ini memberi petanda positif kepada pasukan," ujarnya.
Malah, Fandi juga tetap optimis Johor Darul Takzim mampu melangkah jauh meskipun setelah gagal meraih kejuaraan pada kejohanan jemputan empat penjuru Piala Tunku Mahkota Johor baru-baru ini.
Pada perlawanan akhir tersebut, Johor Darul Takzim tewas 1-2 kepada pasukan sejiran, Johor.
"Ini merupakan kekalahan pertama Johor Darul Takzim selepas menang pada semua perlawanan persahabatan sebelum ini. Pemain masih mencari keserasian dan kita tidak boleh menghukum mereka atas kekalahan ini.
"Saya yakin, ini bukan keupayaan sebenar pasukan," katanya.
Dalam pada itu, Safee yang memilih untuk kembali beraksi dalam liga tempatan bersama Johor Darul Takzim menerusi kontrak pinjaman dari kelab Indonesia, Pelita Jaya tetap optimis kariernya mampu dikembangkan lagi bersama skuad Harimau Selatan.
Dianggap sebagai pelengkap kepada skuad bertaraf bintang, Safee turut mengakui Johor Darul Takzim merupakan antara pasukan hebat yang pernah disertainya.
Begitupun, Safee akui dia sendiri harus tidak boleh terlalu selesa dan harus bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
"Menyertai pasukan yang dibarisi ramai pemain hebat merupakan satu peluang terbaik untuk saya mengembangkan karier.
"Kami akan bersaing secara sihat untuk memburu slot dalam kesebelasan utama dan sudah pasti ia memberi kesan positif kepada pasukan," kata Safee.
Berbeza dengan Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo, hasratnya untuk menyertai pasukan Johor berdepan pelbagai proses 'tarik tali' antara PBNJ dan majikan terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Bagaimanapun, sebagai pemain profesional, Norshahrul yang dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) musim 2012 tetap dengan pendiriannya untuk mencari angin baru.
"Saya mahu buktikan kehadiran saya ke sini (Johor) bukan sia-sia. Lebih daripada itu, saya juga tekad untuk membuktikan kemampuan saya," katanya.
Bagi bintang import kelahiran Sepanyol, Daniel Guiza, dia turut menyuarakan harapan yang sama iaitu membantu Johor Darul Takzim menjuarai sebanyak mungkin piala pada musim 2013. (Click)
"Harap pengalaman beraksi dalam Liga Sepanyol dapat membantu saya untuk mencipta nama di sini.
"Saya sentiasa menghormati pemain-pemain yang ada termasuk dalam pasukan saya tetapi sasaran sudah pasti untuk muncul penjaring terbanyak," ujarnya.
Untuk rekod, Johor Darul Takzim yang menjadikan Stadium Larkin sebagai gelanggang tuan rumah pada Liga Malaysia musim 2013 akan memulakan pemburuan kejuaraan Liga Super dengan berkunjung ke Stadium Darul Makmur menentang Pahang pada 8 Januari ini.
Selain itu, skuad Harimau Selatan juga akan memulakan kempen Piala FA pada 25 Januari ini dengan menentang Perak.