Social Icons

Tanda kasih Keluarga Diraja Johor

Arkib 24/07/2008
Oleh AZIMI MUSTAPHA
dan HAMDAN OTHMAN
rencana@kosmo.com.my

Atur cara Kembara Mahkota Johor 2008 direka supaya baginda dapat bermesra lebih lama dengan rakyat.

SETIAP tahun rakyat negeri Johor sememangnya ternanti-nanti peluang untuk bertemu dan mengenali dengan lebih dekat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar menerusi program Kembara Mahkota Johor (KMJ).

Pendekatan baginda yang melupakan soal protokol apabila berdampingan dengan rakyat pelbagai kaum amat disenangi penduduk negeri di selatan tanah air itu. Tidak hairanlah jika Tunku Ibrahim disambut meriah setiap kali singgah di destinasi program ini.

Seringkali penjelajahan ini menggunakan motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson yang dicat warna kuning berbelang hitam seperti seekor harimau. “Ia memang dipanggil motor harimau,” kata Tunku Ibrahim ketawa. Gambar kepala haiwan itu turut terpampang di sebelah kanan tangki motosikal itu.

SUKAN rakyat adalah cara baginda
merapatkan hubungan dengan orang Johor.

Selepas menumpukan pengembaraan ke pulau-pulau sekitar Johor tahun lalu, motor harimau itu kembali mengaum.

KMJ 2008 bermula hari ini. Ia melibatkan perjalanan dari Johor Bahru sejauh 910 kilometer. Tempat persinggahannya termasuk Pontian, Batu Pahat, Muar, Ledang, Segamat, Labis, Kluang, Felda Endau, Mersing, Kota Tinggi dan berakhir di Kulai Jaya, Ahad ini.


Masih mengekalkan konsep mesra rakyat, Tunku Ibrahim memberi jaminan ada kelainan pada program selama empat hari tiga malam ini berbanding kembara terdahulu.

Menurut baginda, pada tahun ini terdapat sedikit perubahan pada jadual perjalanan bagi membolehkan baginda mempunyai lebih banyak masa bersama rakyat. Program yang diatur tidak terlalu padat.

“Jika banyak sangat atur cara, ia akan membataskan masa saya untuk berdampingan dengan rakyat jelata. Lagipun saya perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam tempoh yang singkat.

“Jadi mengurangkan atur cara sebenarnya lebih bijak,” kata baginda dalam satu pertemuan di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, baru-baru ini.

LESEN sah. Tunku Ibrahim mahu 

anak-anak muda menunggang 

motosikal dengan cara berhemah

Kembara ini melibatkan sebanyak 10 buah daerah, namun ia menggunakan laluan yang berbeza dengan sebahagian besarnya belum pernah dilalui dalam program KMJ.

Pada kembara yang memasuki edisi ke-10 ini, baginda akan menunggang motor harimau kesayangannya yang dianggap baginda sebagai barangan wajib dalam acara KMJ yang telah dianjurkan sejak tahun 2001.

Titah baginda, rakyat Johor sudah mengenali KMJ dengan imej motor harimau, jadi biarlah ia kekal begitu. Lagipun ujar baginda, rakyat juga mengenali Tunku Ibrahim dengan imej motosikal berkenaan.


Sambil berseloroh, baginda berkata: “Jika saya tidak menunggang motor harimau itu, nanti rakyat tidak mengenali pula yang mana satu Tunku Mahkota. Saya memang dikenali dengan imej tersebut, biarlah ia begitu.”

Pada KMJ 2008 yang diketuai sendiri oleh baginda, sebanyak 30 buah motosikal berkuasa tinggi serta kenderaan pacuan empat roda akan mengambil bahagian.

Ditanya mengenai perkara yang paling menyeronokkan ketika bertemu dengan rakyat jelata sepanjang KMJ lalu, baginda memberitahu:

“Pernah ada rakyat yang menahan rombongan saya semata-mata nak suruh saya minum air yang dibawanya.

“Ada pula rakyat yang sanggup tunggu saya dari pagi di suatu tempat biarpun ia bukan tempat persinggahan.”

Antara perkara wajib yang mesti ada pada setiap program KMJ adalah acara sukan rakyat. Selain dapat bermesra dengan lebih dekat dengan orang kebanyakan, ia juga sebagai tanda kasih baginda kepada mereka yang begitu bersemangat mengatur acara sukan tersebut.

Dalam banyak-banyak sukan rakyat, baginda berkata, sukan tarik tali mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia melambangkan perpaduan setiap pasukan yang bertanding.
Pada KMJ 2008 ini, Tunku Ibrahim Ismail ingin mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak dengan mengadakan acara getah gundu pada acara sukan rakyat, selain tarik tali dan basikal polo.

Kata baginda, getah gundu ada nostalgianya sendiri kepada baginda. Jadi baginda mahu kanak-kanak pada zaman serba canggih ini mengenalinya agar ia tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.

“Kanak-kanak sekarang hanya tahu membeli permainan yang diminati di kedai. Tapi dulu saya membuatnya sendiri termasuk getah gundu ini,” ujar baginda tersenyum.

Bercakap tentang ahli rombongan, baginda menegaskan selain isteri, baginda gemar anak-anaknya menyertai KMJ setiap tahun.

“Tapi tidak semua yang kita hendak itu akan tercapai kerana masing-masing ada komitmen yang perlu dilakukan.

“Raja Muda Johor, Tunku Ismail mungkin dapat bersama KMJ selama dua hari kerana terikat dengan jadual di kem.

“Begitu juga dengan Tunku Idris. Tetapi anak-anak yang lain, saya rasa tidak ada masalah untuk bersama sepanjang kembara. Kalau tidak ada anak-anak, kemeriahan kembara akan terasa kurangnya walaupun program yang disusun cukup padat,” ujar baginda.

Sambil menunjukkan lesen memandunya, Tunku Ibrahim berkata, selain bermesra dengan rakyat jelata, tujuan bermotor ialah untuk mengajak golongan muda supaya menghindari gejala tidak sihat.

“Saya hendak ajak rakyat supaya sentiasa menunggang motosikal dalam keadaan cermat dan selamat. Semaikan dalam diri agar kita menjadi penunggang motosikal yang sentiasa mengamalkan disiplin khususnya ketika berada di jalan raya.

“Kalau jatuh motosikal pun sakit, inikan pula jika terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Hendak paksa supaya ikut cara saya menunggang motosikal memang tidak boleh tetapi itulah nasihat yang dapat saya berikan kepada mereka sempena kembara bermotosikal tahun ini,” jelas baginda.

Mengakhiri perbualan, baginda berharap KMJ 2008 akan berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. “Kalau ditakdirkan hujan, saya akan teruskan juga seperti yang telah dirancang,” ujar baginda.