Social Icons

Ceritera istana


TAHUN 2012 mencorak seribu satu kisah yang mewarnai kehidupan di sebalik gerbang istana. Khabar daripada kerabat keluarga diraja turut terpahat dalam lembaran peristiwa negara.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 mengukir sejarah tersendiri apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan buat kali kedua sekali gus tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Sementara itu, sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor ke-54 menghidupkan kembali adat istiadat Kesultanan Johor lama. (Click) Sejarah sekali lagi terlakar apabila Sultan Kelantan berkenan membuka pintu istana kepada seluruh rakyat mengunjungi singgahsana diraja itu.
Di sebalik khabar gembira, terselit kisah duka buat seluruh rakyat Selangor apabila kehilangan seorang kerabat diraja iaitu adinda bongsu Sultan Selangor, Tengku Putri Aishah. Teraju sistem monarki Britain, Ratu Elizabeth II tidak terkecuali mencorak warna-warni 2012 dengan sambutan ulang tahun pemerintahan baginda yang ke-60.

Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14

TARIKH 11 April menjadi saksi Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Istiadat kali ini melakar memori yang cukup bermakna bagi Seri Paduka Baginda kerana ia merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan yang pertama bersemayam di Istana Negara baharu di Jalan Duta.

Baginda juga berkenan menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai sultan pertama dilantik ke jawatan yang sama buat kali kedua pada 20 Februari 2012.

Raja Nazira Safya curi tumpuan media

ANAKANDA kedua Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Nazira Safya, mencuri tumpuan media apabila buat julung-julung kalinya tampil di khalayak ramai pada istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-84 di Istana Iskandariah pada 22 Mei lalu.

Raja Nazira Safya didukung bonda baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim di hadapan pintu masuk Dewan Santapan Istana Iskandariah.

No comments:

Post a Comment