Social Icons

FAM minta media hati-hati buat laporan Tunku Mahkota Johor


Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta media tempatan supaya berhati-hati ketika membuat laporan berkenaan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor.
FAM dalam satu kenyataan berkata segala laporan mengenai baginda perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Istana Johor selepas menerima arahan sedemikian, semalam. 

Sejak kebelakangan ini FAM mendapati banyak laporan media tempatan yang membawa andaian tidak berasas mengenai isu tertentu dalam bola sepak tempatan. 

“Malahan didapati segelintir akhbar yang sama sering membuat laporan yang berbentuk spekulatif ini. Laporan sedemikian menimbulkan suasana yang tidak sihat dalam bola sepak negara,” menurut kenyataan itu.

Tunku Ismail sebelum ini digantung enam bulan dan didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia dan hukuman itu berkuat kuasa sejak 8 Mac lalu.

Rabu lalu, Tunku Ismail memutuskan untuk meletak jawatan selaku Presiden PBNJ kerana mahu menumpukan tugas selaku Tunku Mahkota Johor dan tidak mahu terikat dengan undang-undang FAM.