Social Icons

Tunku Mahkota Johor tarik balik keputusan letak jawatan


KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menarik balik keputusan meletak jawatan sebagai PresidenPersatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta merta.

Ini diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada sidang akhbar selepas menerima menghadap Tunku Ismail di Istana Pahang di sini hari ini.

Turut berangkat pada pertemuan hampir sejam itu ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad Shah bertitah, keputusan itu diambil Tunku Ismail selepas dipujuk oleh baginda sendiri selain turut mendapat restu Sultan Ibrahim.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T pada hari ini sebagaimana harapan saya telah menjadi kenyataan, bahawasanya Tunku Mahkota Johor akan kembali sebagai
Presiden PBNJ. Jadi saya telah menasihatkan Tunku Ismail supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kedudukan bola sepak di Johor," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bagaimanapun bertitah Tunku Ismail tetap akan menjalani
hukuman penggantungan dan denda yang diputuskan Jawatankuasa Tata Tertib FAM sebelum ini.

"Sekali anda memutuskan untuk menjadi anggota persatuan, kita tertakluk kepada undang-undang yang diperuntukkan persatuan itu. Jadi tiada siapa boleh melarikan diri daripada undang-undang yang telah termaktub bertahun-tahun," titah baginda. - Bernama