Social Icons

RAMAI SOKONG TUNKU ISMAIL KEMBALI MENERAJUI PBNJ


Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Pic: Ezreen B Abd Talip
Kuala Lumpur: Keputusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) selepas mengumumkan keputusan meletak jawatan minggu lalu mendapat sambutan baik ramai pihak.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Tunku Ismail membuat keputusan tepat dengan mengubah pendirian demi kebaikan bolasepak tanah air.

“Saya setuju dengan keputusan Tunku Ismail untuk terus memainkan peranan dalam PBNJ ini kerana kita dapat lihat dengan kehadirannya pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mempamerkan peningkatan drastik musim ini.

“Jika sebelum ini suasana bolasepak di Johor agak sepi namun perancangan diatur Tunku Ismail kembali mengubah senario itu. Saya berpendapat pengalaman yang beliau lalui ini akan mematangkan dirinya untuk memacu Johor ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Keputusan Tunku Ismail untuk menarik semula keputusan meletak jawatan selaku Presiden PBNJ minggu lalu itu diumum Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah selepas mengadakan pertemuan di Istana Pahang semalam.

Tunku Ismail yang digantung enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM melepaskan jawatan presiden kerana berasa sukar untuk dirinya sebagai Tunku Mahkota Johor terikat dengan undang-undang FAM.

Justeru beliau memilih untuk hanya menjadi penaung PBNJ manakala jawatan Presiden PBNJ disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil.

Sementara itu bagi bekas pemain kebangsaan Khalid Ali, tenaga muda seperti Tunku Ismail amat diperlukan bukan saja bagi pembangunan bola sepak di Johor malah di peringkat kebangsaan.

“Tunku Ismail seorang yang bertanggungjawab, kerana itulah beliau menyuarakan pandangan hingga dikenakan tindakan menerusi Artikel 88. Banyak perubahan beliau lakukan terhadap pasukan Johor, beliau memberi peluang kepada anak muda negeri itu berkecimpung dalam bola sepak.

“Kita memang perlukan individu yang seperti Tunku Ismail dalam persatuan sukan. Saya yakin beliau bukan saja boleh menyumbang di peringkat PBNJ namun mungkin boleh berada dalam FAM satu hari nanti,” katanya.