Social Icons

'Beri kerjasama sepenuhnya kepada MB baru' - Sultan Johor


JOHOR BAHRU, 15 Ogos 2013 - Sebentar tadi baru sahaja selesai upacara perasmian DUN Johor bagi penggal pertama DUN ke 13. Perasmian disempurnakan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Majlis ini dihadiri oleh Menteri Besar, Dato Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin Johor, EXCO-EXCO, semua ADUN Johor dan Ketua-ketua Jabatan.

Dalam majlis perasmian tersebut, Sultan Ibrahim bertitah penuh dengan makna tersirat dan tersurat bagi mereka yang ingin memahami dan mengambil berat titah Tuanku. Tapi bagi insan-insan dungu yang tidak mahu ambil tahu, sampai bila-bila akan buat bodoh sahaja.

Sultan Ibrahim amat prihatin dan sangat mengambil berat mengenai isu-isu Johor. Tuanku bukanlah campur tangan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, tetapi sebagai Ketua Kerajaan Negeri Johor dan selaku Sultan, baginda amat  peka sebarang perkembangan hal ehwal negeri Johor. 

Antara titah ucapan Sultan Ibrahim yang menarik, Tuanku bertitah bahawa kini telah bermulanya era pentabiran MB Johor yang baru. Johor kini dipimpin oleh Dato Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin. Disamping itu Tuanku turut bertitah supaya semua ahli DUN Johor memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau.


MASA UNTUK BEKERJA
Baginda juga bertitah bahawa masa untuk berkempen politik telah tamat, kini tiba masanya ADUN yang dipilih bekerja untuk rakyat yang mengundi mereka. Turut disentuh Tuanku, wakil rakyat perlulah menjadi contoh kepada rakyat dan menjaga tingkah laku serta imej sebagai seorang pemimpin dan menjalankan tugas dengan tanggungjawab dengan mengutamakan rakyat berbanding peribadi mahupun parti politik. 

Baginda turut meminta semua yang hadir mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang ada di Negeri Johor. Atas alasan itu, baginda telah melantik 3 wakil bangsa Johor dalam Jemaah mesyuarat Johor selepas PRU 13.

"Masa untuk kempen politik sudah selesai dan sekarang adalah masa untuk bekerja. Suara dan kehendak rakyat haruslah disalur dengan betul dan tertib bukannya dengan cara protes yang biadab atau menganjurkan demonstrasi jalanan. 

"Semua rakyat Johor pula teruskan hidup bersatu padu demi menjaga keamanan negeri. Janganlah membangkitkan isu agama dan perkauman sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat," tegas baginda.


PEMBANGUNAN EKONOMI JOHOR
Paling menarik baginda turut menyentuh mengenai kepesatan pembangunan ekonomi Johor, baginda berharap kerajaan mengkaji semula projek-projek penswastaan yang tidak berjalan dengan lancar dan dan meneliti perjanjian yang tidak menguntungkan supaya kerajaan negeri bebas daripada hutang dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. 

Baginda bertitah peranan dan tujuan anak-anak syarikat kerajaan negeri juga perlu disusun semula supaya selaras dengan dasar kerajaan selain mengelakkan kerugian serta pembaziran sumber kewangan kerajaan. 


RUMAH UNTUK RAKYAT
Tuanku turut mendesak supaya kerajaan lebih prihatin dan berusaha membantu rakyat memiliki rumah mampu milik baginda juga turut menyeru supaya pemaju hartanah lebih prihatin dan tidak hanya memfokuskan keuntungan dengan menetapkan harga hartanah yang tinggi yang hanya dapat menarik perhatian pembeli asing.

"Kerajaan perlu bertindak membantu rakyat memiliki rumah yang sesuai dengan kemampuan manakala pihak pemaju pula janganlah terlalu tamak untuk mengaut keuntungan dengan meletakkan harga yang terlalu tinggi hanya untuk menarik pasaran daripada pembeli warga asing. 

"Kadar pelaburan yang tinggi di negeri sepatutnya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pekerjaan lebih baik dan kehidupan selesa, tetapi malangnya kehidupan rakyat menjadi semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat dan harga rumah yang melambung tinggi," titah baginda sambil menambah bahawa kerajaan negeri perlu mengenal pasti skim perumahan yang sesuai untuk penghuni setinggan bagi membolehkan mereka berpindah dari tanah milik kerajaan negeri.

Baginda juga bertitah kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan dan tegas dalam menangani isu setinggan memandangkan isu itu masih tidak dapat diselesaikan setelah lebih 50 tahun merdeka kerana kerajaan terlalu berlembut dalam mengambil tindakan. 


HENTIKAN PENGURNIAAN TANAH
Baginda juga turut menitahkan supaya kerajaan negeri menghentikan dasar mengurniakan tanah kepada peneroka tanah kerajaan atau rizab hutan. Dasar kurniaan tanah itu seolah-olah memberi keistimewaan kepada penceroboh dan tidak berlaku adil kepada rakyat yang patuh kepada undang-undang.

"Pemantauan tegas oleh Pejabat Tanah perlu dilakukan memandangkan pengurniaan tanah terbabit akan mengakibatkan pencerobohan tanah berlaku secara berterusan dan dijadikan isu politik menjelang pilihan raya untuk menuntut hak milik tanah," titah baginda. 


ALAM SEMULA JADI
Bagi menjaga alam semula jadi, Sultan Ibrahim mencadangkan kerajaan supaya mengkaji semula dasar pemberian kuota pembalakan dan segala aktiviti pembalakan di negeri ini boleh dihentikan jika perlu. 

Sultan Johor bertitah kedudukan rizab Orang Asli juga perlu dikaji daripada segi kesesuaiannya kerana didapati ada kawasan rizab tersebut telah diteroka dan ditanam dengan kelapa sawit dan getah. 

Titah baginda, Orang Asli juga tidak boleh membuat tuntutan yang bukan-bukan kepada kerajaan atas dasar tanah pusaka dan sebagainya kerana kerajaan telah banyak memberikan bantuan dan menyediakan kemudahan kepada mereka bagi mengubah nasib kehidupan. 

Sultan Ibrahim juga meminta kerajaan bersikap tegas terhadap pengawalan bilangan pelawat yang dibenarkan memasuki kawasan Taman Negara Gunung Ledang, Endau-Rompin dan kepulauan Mersing supaya khazanah alam tidak terhapus akibat kebanjiran pelawat. 

Baginda yang turut mengisytiharkan Taman Negara Kepulauan Mersing kini dikenali sebagai 'Taman Laut Sultan Iskandar' mahu satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti laut di kepulauan berkenaan.