Social Icons

Sultan Ketuai Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013

JOHOR BAHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim, yang diiringi kerabat diraja, pemimpin negeri dan ketua jabatan, akan menjelajah ke seluruh negeri ini dengan motosikal berkuasa tinggi menerusi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2013 dari 24 hingga 27 Ogos.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Obet Tawil berkata kembara kali ke-16 merentasi 10 daerah melibatkan laluan sejauh 1,100 kilometer itu akan bermula di Dataran Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan berakhir di Padang Awam Gelang Patah di sini.

"KMJ yang dimulakan sejak 2001 berjaya menyemarakkan jalinan erat antara institusi raja, pemimpin negeri, kerajaan dengan rakyat jelata. Bertemakan 'Kembara Ke Arah Perpaduan', kembara kali ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan perpaduan di kalangan kaum di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran KMJ 2013 oleh Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi Rabu.

Berangkat sama ke majlis itu, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim serta paduka putera lain.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri Johor dan pegawai kerajaan.

Obet berkata pelbagai acara kemasyarakatan diatur oleh semua pegawai daerah di setiap laluan yang disinggahi Sultan Ibrahim dan rombongan baginda.

Beliau berkata Sultan Ibrahim akan turut menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor kepada golongan yang layak.


"Sultan Ibrahim turut berkenan diadakan cabutan bertuah di setiap daerah, yang hadiahnya berupa pakej ziarah ke lokasi yang diperkenan baginda, bagi setiap wakil kaum yang bertuah.

"Hadiah cabutan bertuah itu akan memberikan makna yang lebih besar kepada rakyat di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku," katanya.

Majlis prapelancaran KMJ 2013 itu turut diserikan dengan upacara memotong kek sempena ulang tahun ke-54 keputeraan Tuanku Raja Zarith Sofiah hari ini.

Selanjutnya
Aturcara Kembara Mahkota Johor 2013