Social Icons

Sultan Johor Mahu Mubarak Bantu Kerajaan Tangani Perpecahan



JOHOR BAHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu agar Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) memainkan peranan membantu kerajaan menangani masalah perpecahan yang berlaku pada masa kini.

Baginda bertitah, sebagai seorang bekas pemimpin politik anggota Mubarak pasti mengetahui punca dan sebab fenomena ini berlaku.


"Dengan pengalaman yang luas dan pahit dalam bidang politik sebelum ini, saya percaya saudara saudari mempunyai pandangan dan jawapan tersendiri.

"Oleh yang demikian, adalah wajar bagi anggota Mubarak memberikan pendapat dan berbincang dengan pemimpin kerajaan sedia ada, baru mengambil tindakan meraih semula sokongan padu rakyat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Perhimpunan Agung kali ke-10 Mubarak di Persada di sini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman serta lebih 1,200 perwakilan dan jemputan dari seluruh negara.

Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa bimbang dengan tanda-tanda perpecahan kini, bertitah ia berlaku apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang telah pun diterjemahkan melalui kemerosotan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.

"Persoalannya, mengapa rakyat tidak lagi memberikan sokongan penuh kepada kerajaan BN?.

"Adakah disebabkan rakyat tidak setuju dengan pembangunan yang dibuat atau hilang kepercayaan kepada pemimpin atau parti yang memerintah?," titah baginda.

Baginda turut tidak menafikan cabaran dalam bidang politik pada masa kini adalah berbeza dengan 10 tahun lalu terutama dengan kemajuan teknologi maklumat dan kebebasan media sosial.

"Pelbagai bentuk maklumat boleh diperoleh daripada sumber Internet bukan sahaja fakta, tetapi juga fitnah dan tomahan boleh dipaparkan ruang maya yang tiada kawalan," titah baginda.

Justeru, titah baginda kerajaan harus berubah dan menggunakan pendekatan baharu untuk memenangi hati rakyat selain bersikap lebih tegas dan berani demi kepentingan awam.
-- BERNAMA