Social Icons

PBNJ sedia bantu FAM - Tunku Ismail


JOHOR BARU: Presiden Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengecam mutu pengadilan di negara ini dan mempertikaikan sama ada bookie telah mempengaruhi mereka.

Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu meneliti keputusan yang dibuat dalam beberapa perlawanan baru-baru ini.

Tunku Ismail mengambil contoh beberapa insiden di mana beliau bersemuka dengan pengadil ketika perlawanan Piala Malaysia melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Felda United di Stadium Larkin. JDT menang 1-0 pada perlawanan itu.

Video selama 93 saat yang tersebar di YouTube itu menunjukkan Tunku Ismail bersemuka dengan pengadil untuk membantah keputusan perlawanan itu.

Tunku Ismail berkata beliau hanya meminta penjelasan daripada pengadil tersebut punca dia membatalkan gol awal yang dijaringkan JDT pada perlawanan itu.

Menurut beliau, PBNJ telah menghantar video dan aduan rasmi kepada FAM mengenai keputusan pengadil itu tetapi sehingga kini 'masih belum menerima sebarang maklum balas secara bertulis daripada badan pentadbir utama sukan bola sepak negara itu'.

Tunku Ismail turut meminta FAM untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas pengadil untuk memastikan jika ada di antara mereka dibelenggu masalah bookie.

"Sehingga hari ini FAM masih belum melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah mutu pengadilan yang akan menghancurkan masa depan arena bola sepak tempatan," katanya.

Tunku Ismail berkata FAM perlu mempertimbangkan untuk menjadikan khidmat pengadil sebagai tugas profesional bukan hanya untuk pekerja sambilan.

"Sekiranya mereka (FAM) tidak mempunyai dana untuk itu, PBNJ akan membantu mereka dalam apa jua sekalipun, termasuk memberi bantuan kewangan, kerana kita mahu pengadil profesional di negara ini untuk meningkatkan kualiti dan standard bola sepak di Malaysia," katanya.