Social Icons

SUK diminta siasat penyebar dokumen rasmi kerajaan di laman sosial

JOHOR BAHRU 14 Nov. - Jumaah Majlis Diraja Johor meminta Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor dan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tentang usul cuti mingguan diubah kepada Jumaat dan Sabtu yang tersebar menerusi laman sosial Facebook beberapa hari lalu.
Yang Berhormat Dato' Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor 

Setiausahanya, Dato' Abd. Rahim Ramli berkata, pihaknya memandang serius perkara itu memandangkan dokumen rasmi tersebut adalah rahsia dan sulit sekali gus tidak sepatutnya didedahkan kepada pihak tidak berkenaan.

Menurutnya, beliau difahamkan SUK telah memulakan siasatan tentang perkara itu sejak semalam bagi menyiasat pihak yang bertanggungjawab membocorkan dokumen rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tersebut.

“Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat perkara ini... macam mana kertas majlis mesyuarat boleh dibocorkan sedangkan ia adalah rahsia rasmi. Siapa yang bocorkan? Ia tidak sepatutnya didedahkan.

“Saya difahamkan siasatan telah dimulakan dan sesiapa yang berkenaan akan dikenakan tindakan kerana ia sesuatu yang sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Selama saya memegang jawatan ini, perkara pembocoran ini tidak pernah berlaku dan ia satu kesalahan yang serius,”

Siapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan sewajarnya," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Jumaah Majlis Diraja Johor di Istana Besar, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dialamatkan kepada SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri bertarikh 9 Oktober 2013 tentang cadangan tersebut tersebar secara meluas di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan orang ramai.

Mengulas tentang cuti mingguan tersebut, Abd. Rahim berkata, berdasarkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, perkara tersebut masih dalam penelitian kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan tersebut, tunggulah (sampai) kerajaan negeri buat keputusan," katanya.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan telah menerima tiga laporan polis berhubung pembocoran dokumen rahsia kerajaan negeri berkenaan.

“Kita telah menerima tiga laporan polis yang dibuat antaranya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil. Polis sedang menyiasat perkara ini  di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini menegaskan sebarang keputusan pelaksanaan menukar cuti tertakluk kepada perkenan Sultan Johor.