Oleh YANG BERHORMAT DATO' ABDUL RAHIM RAMLI
![]() |
Dato Temenggong Sri Maharaja Daeng Ibrahim ibni al-Marhum Dato Temenggong Sri Maharaja ‘Abdu’l Rahman (1810-1862)
|
Pada tahun 1815 Temenggong Daing Abdul Rahman Ibni Dato’ Abdul Hamid setelah menerima restu Sultan Mahmud III belayar dari Riau ke Singapura dan membuka sebuah penempatan Kampong Temenggong di tebing Sungei Singapura. Pada tahun 1819 British melantik Temenggong sebagai Pemerintah Singapura dan Tengku Husain Ibni Sultan Mahmud sebagai Sultan Husain Muazam Shah Sultan Johor. Atas nasihat British bahawa Kampong Temenggong tidak sesuai dari segi kesihatan Sultan Husain berpindah ke Kampong Gelam. Temenggong melewatkan perpindahan sehingga British bersetuju membayar gantirugi. Temenggong bepindah ke Telok Belanga pada hari Jumaat 14 Mac 1824.
British enggan menerima hakikat diperintah oleh Temenggong. Telok Belanga adalah tanah pajakan dan dikenakan syarat sekiranya Temenggong atau waris-waris gantian nya berpindah dan bermastautin di tanah besar Johor, British akan membayar 15,000 Spanish Dollar kepada Baginda.
ISTANA TEMENGGONG DAN MASJID TEMENGGONG DAENG IBRAHIM
![]() |
Istana Temenggong, Telok Belanga |
Temenggong membina sebuah istana di Bukit Aur dikenali sebagai Istana Temenggong dan sebuah balai rong seri berbentuk lapan segi sebagai balai menghadap dan mesyuarah. Temenggong Daeng Ibrahim menjadikan balai rong seri sebagai masjid.
Pada tahun 1989 Almarhum Sultan Iskandar bertitah masjid itu dibina semula dengan dikekalkan rekabentuk asal dan dinamakan Masjid Temenggong Daing Ibrahim.
Telok Belanga diabadikan dalam sejarah Johor sebagai tempat lahirnya birokrasi kerajaan yang ditubuhkan oleh Temenggong Ibrahim, dan ikon Johor Baju Melayu Telok Belanga ciptaan Maharaja Abu Bakar.
Penulis,
Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli
Yang DiPertua
Jumaah Majlis DiRaja Johor